KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Joint Action Group for Gender Equality (JAG) membantah sekeras-kerasnya cadangan supaya kanak-kanak perempuan dalam kes ‘seks suka sama suka’ turut didakwa.
JAG dalam satu kenyataan memaklumkan, cadangan itu bukan sahaja mengukuhkan naratif bahaya seperti menyalahkan mangsa, malah gagal mengutamakan kepentingan terbaik kanak-kanak.
Sedangkan, jelasnya, di Malaysia, kanak-kanak dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, yang menekankan setiap tindakan berkaitan kanak-kanak mesti mengutamakan kepentingan terbaik kanak-kanak (the best interest of the child).
Menurutnya, kesalahan hubungan seks bawah umur disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (Rogol) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, di mana kanak-kanak perempuan lazimnya dilindungi sebagai mangsa.
“Kenyataan ketua Polis Kelantan yang menekankan agar pihak perempuan patut turut didakwa, secara langsung bertentangan dengan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak, dan menunjukkan ketidakfahaman undang-undang serta perlunya pendidikan dan pencegahan,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman web Aliran hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mencadangkan supaya perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.
Menurut Mohd Yusoff, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di Kelantan adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.
Sementara itu, JAG berkata, pegawai polis adalah titik temu pertama (first point of contact) masyarakat dengan undang-undang, justeru sepatutnya peka terhadap hak kanak-kanak dan perspektif gender.
Menurutnya, mengemukakan cadangan yang bercanggah dengan undang-undang melalui sidang media adalah tidak wajar, kerana ia mengalihkan perhatian daripada isu perlindungan dan pendidikan yang lebih kritikal.
Jelas beliau, adalah mustahak bagi kerajaan “Madani” memastikan pegawai polis, khususnya pegawai kanan, memahami hak kanak-kanak, perspektif gender dan kepentingan pendidikan serta pencegahan.
“Latihan berfokus kepada perlindungan kanak-kanak dan “child centric reporting” harus dijadikan mandatori agar laporan ditangani secara adil, telus, selaras dengan undang-undang, dan tidak menyalahkan pemandiri,” katanya.
Dalam masa sama, tambahnya, pendekatan yang lebih sistemik, termasuk pendidikan kanak-kanak, kesedaran masyarakat, dan pengukuhan perlindungan sosial harus diberi tumpuan.
“Dengan ini, kanak-kanak dapat dilindungi sepenuhnya dan isu seksual bawah umur dapat ditangani secara berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette
















