Reaksi Donald Trump ketika eskalator yang dinaiki bersama Melania berhenti secara tiba-tiba selepas selesai menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.
NEW YORK – Donald Trump mengarah satu siasatan dibuat terhadap kejadian yang disebutnya sebagai “sabotaj tiga kali ganda” semasa kehadirannya ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari Rabu.
Dalam catatan di media sosial, Presiden Amerika Syarikat itu merujuk kepada eskalator yang berhenti secara tiba-tiba ketika dia dan Wanita Pertama Melania Trump melangkah naik.
Selain itu, teleprompter tidak berfungsi semasa beliau berucap dan dan isu audio di auditorium.
Seorang pegawai PBB berkata, sistem bunyi itu direka untuk membolehkan orang ramai mendengar ucapan yang diterjemahkan melalui cuping telinga.
PBB sebelum ini berkata, mekanisme keselamatan mungkin dicetuskan oleh juruvideo Trump yang bergerak ke belakang semasa menaiki eskalator manakala teleprompter adalah milik delegasi AS.
Trump mengkritik insiden di Truth Social memaklumkan beliau telah menghantar surat kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menuntut siasatan segera.
“AIB SEBENAR berlaku di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam – Bukan satu, bukan dua, tetapi tiga peristiwa yang sangat jahat!.
“Ini bukan satu kebetulan, ini adalah sabotaj tiga kali ganda di PBB. Mereka sepatutnya malu dengan diri mereka sendiri,” tulis Trump.
Beliau juga menggesa penahanan individu yang bertanggungjawab atas insiden eskalator itu, merujuk artikel di Times yang mengatakan pekerja PBB bergurau tentang mematikan eskalator.
“Ini benar-benar sabotaj… Semua pita keselamatan di eskalator harus disimpan terutamanya butang berhenti kecemasan. Perkhidmatan Rahsia terlibat,” tambah Trump.
Mike Waltz, Duta AS ke PBB, mengulangi gesaan presiden untuk siasatan rasmi, dengan mengatakan insiden itu “tidak boleh diterima”.
“Amerika Syarikat tidak akan bertolak ansur dengan ancaman terhadap keselamatan atau maruah kami di forum antarabangsa. Kami mengharapkan kerjasama pantas dan tindakan tegas,” tulisnya di X.
Pada hari Rabu, Setiausaha akhbar White House Karoline Leavitt menimbulkan kebimbangan wujud seseorang yang sengaja menghentikan eskalator.
“Jika seseorang di PBB dengan sengaja menghentikan eskalator ketika Presiden dan Wanita Pertama sedang melangkah, mereka perlu dipecat dan disiasat segera,” tulisnya di X selepas kejadian itu.
Stephane Dujarric, jurucakap Guterres berkata pula mendakwa juruvideo Trump “mungkin secara tidak sengaja mencetuskan fungsi keselamatan” semasa merakam pasangan itu.
Selepas insiden eskalator, Trump menghadapi lebih banyak masalah teknikal apabila dia berkata teleprompter tidak berfungsi – walaupun ia telah dipulihkan pada penghujung ucapannya.
“Saya hanya boleh mengatakan bahawa sesiapa yang mengendalikan teleprompter ini menghadapi masalah besar,” katanya.
Seorang pegawai PBB kemudian memberitahu media,  White House yang mengendalikan teleprompter pada masa itu, membawa komputer riba mereka sendiri dan memasukkannya ke dalam sistem PBB.
Trump juga merujuk kepada isu audio dalam catatan panjangnya, dengan mengatakan “bunyi itu benar-benar mati di auditorium”.
“Pemimpin Dunia, melainkan mereka menggunakan alat dengar jurubahasa, tidak dapat mendengar apa-apa,” tambahnya.
Sebagai tindak balas kepada komen Trump, seorang pegawai PBB berkata: ”Sistem bunyi direka untuk membolehkan orang ramai di tempat duduk mereka mendengar ucapan diterjemahkan ke dalam enam bahasa berbeza melalui cuping telinga. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast