KOTA TINGGI – Hasrat seorang pekebun mahu membeli sebuah kereta secara dalam talian musnah selepas diperdaya RM100,000 awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun.
Beliau memberitahu, kes bermula pada awal bulan ini apabila mangsa melihat satu iklan menjual kereta terpakai jenis Toyota Vios tahun 2024 berharga RM49,000.
“Mangsa bersetuju untuk membeli kereta itu dan telah diminta untuk membuat beberapa bayaran secara dalam talian yang dikatakan wang untuk deposit, pendaftaran dan lain-lain proses pembelian kereta itu sehingga harganya mencecah RM110,840.
“Semua urusan pembayaran tersebut dibuat dalam bulan ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Yusof berkata, mangsa menyedari dirinya telah ditipu apabila berasa curiga kerana harga yang sudah dibayar untuk kereta berkenaan melebihi harga diiklankan.
Mangsa kemudian hadir ke balai polis semalam untuk membuat laporan dan mengesahkan kerugian yang dialami sebanyak RM110,840.
“Kita menyiasat kes ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila ingin membuat pembelian dalam talian.
Yusof meminta mereka melakukan semakan tentang kesahihan jualan yang ditawarkan supaya tidak menjadi mangsa dalam pembelian secara dalam talian.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersial terkini dengan mengikuti laman sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial seperti di Facebook, Instagram dan TikTok.
“Orang ramai juga diseru untuk menyemak nombor akaun sebelum melakukan sebarang transaksi kepada orang tidak dikenali melalui perkhidmatan Semak Mule yang tersedia di dalam talian serta memuat turun aplikasi Whoscall bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan,” jelasnya.
Tambah beliau, jika menjadi mangsa penipuan, mangsa boleh hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 dengan segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran wang keluar.- MalaysiaGazette
















