LOGO MICROSOFT
Foto AFP

NEW YORK – Gergasi teknologi Amerika Syarikat, Microsoft membatalkan beberapa perkhidmatan yang disediakan kepada tentera Israel kerana bimbang ia melanggar terma perkhidmatan syarikat tersebut apabila menggunakan perisian pengkomputeran awan untuk mengintip berjuta-juta rakyat Palestin.

Naib Pengerusi dan Presiden Microsoft, Brad Smith menerusi catatan blognya pada Khamis berkata, syarikat itu telah “menamatkan dan menyahaktifkan satu set perkhidmatan” kepada sebuah unit di bawah Kementerian Pertahanan Israel.

Ia susulan siasatan bersama oleh akhbar The Guardian, majalah +972 dan portal berbahasa Ibrani Local Call pada 6 Ogos lalu.

Laporan itu mendakwa bahawa Unit 8200 tentera Israel menggunakan platform pengkomputeran awan Microsoft, Azure, untuk menyimpan data panggilan telefon yang diperoleh melalui pengintipan besar-besaran di Gaza yang dilanda perang dan Tebing Barat yang diduduki.

Unit 8200 ialah unit peperangan siber elit tentera Israel yang bertanggungjawab terhadap operasi sulit, termasuk mengumpul risikan isyarat dan aktiviti pengawasan.

Siasatan wartawan mendedahkan bahawa selepas pertemuan pada 2021 antara Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella, dan ketua Unit 8200, Yossi Sariel, satu persetujuan telah dicapai untuk bekerjasama memindahkan sejumlah besar bahan risikan sensitif ke dalam platform Azure.

Proses itu, yang telah beroperasi sejak 2022, membolehkan Unit 8200 menggunakan kapasiti simpanan dan kuasa pengkomputeran hampir tanpa had Azure untuk mengumpul, memainkan semula, dan menganalisis panggilan telefon berjuta-juta rakyat Palestin.

Sistem berasaskan awan itu juga membantu Israel membimbing serangan udara maut dan membentuk operasi di seluruh wilayah Palestin yang diduduki, menurut sumber Unit 8200 kepada media.

Laporan itu turut mengenal pasti sejumlah besar data mengenai rakyat Palestin kelihatan disimpan di pelayan Azure Microsoft yang terletak di Belanda dan Ireland.

Smith berkata Microsoft telah meneliti dakwaan dalam laporan tersebut “berdasarkan dua prinsip” dan membuat kesimpulan bahawa penyimpanan data oleh tentera Israel melanggar terma perkhidmatan syarikat.

“Pertama, kami tidak menyediakan teknologi untuk memudahkan pengawasan besar-besaran terhadap orang awam. Kami telah mengaplikasikan prinsip ini di setiap negara di seluruh dunia, dan kami telah menegaskannya berulang kali selama lebih dua dekad,” katanya.

“Kedua, kami menghormati dan melindungi hak privasi pelanggan kami,” tegasnya. -AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast