KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima mengadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa yang membentangkan pelan pelaksanaan Projek Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL).
Pelan Warisan KL itu melibatkan Bangunan Sultan Abdul Samad yang amat dekat dengan hati Sultan Selangor.
Majlis menghadap hari ini turut dihadiri oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Khazanah Nasional.
Warisan KL ialah inisiatif strategik untuk mentransformasi kawasan bersejarah yang tertumpu di pusat bandar Kuala Lumpur sebagai zon budaya dan kreatif, berpandukan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040.
Antara projek andalan berkenaan adalah Kawasan Warisan Dataran Merdeka, Carcosa Seri Negara, Merdeka 118, Enklaf Masjid Jamek, Memorial Tun Abdul Razak dan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.
Projek Warisan KL dijangka menjana RM7.85 bilion menjelang 2035, dengan fokus kepada pembangunan berasaskan warisan dan pelancongan budaya.
Inisiatif ini bertujuan memulihara serta menghidupkan semula aset sejarah sebagai pemacu ekonomi dan ruang komuniti, selaras dengan visi bandar raya yang bersih, maju, dan mesra alam.
Dalam sesi yang berlainan, Sultan Sharafuddin Idris juga berkenan menerima sembah taklimat berkaitan isu semasa di Kampung Sungai Baru dan perancangan jangka masa panjang di Kampong Bharu.
“Tuanku telah memberi titah pedoman baginda bersetuju dan tidak menghalang pembangunan di keseluruhan Kampong Bharu dengan memastikan kepentingan orang Melayu terpelihara,” kata Zaliha dalam hantaran di Facebook. – MalaysiaGazette














