Naib Canselor UKM, Prof Dr Sufian Jusoh (tengah) beramah mesra bersama pelajar ketika hadir pada majlis pendaftaran baharu pelajar ke UKM di Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail 2 (KTDI 2) Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto Hari Anggara, 27 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menanggung pengajian dan perbelanjaan tiga ‘anak angkat’ cemerlang dan kurang berkemampuan sepanjang tempoh sesi akademik sehingga bergelar graduan.

Ketiga-tiganya termasuk dua anak yatim piatu, datang daripada latar belakang berbeza, masing-masing akan mengikuti pengajian dalam kursus perubatan, perakaunan dan sains aktuari.

Mereka ialah Muhammad Hazwan Harith Mohd. Yusof, 22, (perubatan), Muhammad Ahnaf Aiman Za Mohd. Zain, 19, (perakaunan) dan Siti Nordahliah Herman Susilo, 19, (sains aktuari) mendaftar hari ini bagi mengikuti sesi akademik 2025/2026.

Naib Canselor UKM, Profesor Dr. Sufian Jusoh berkata, ketiga-tiganya merupakan ‘insan terpilih’ kerana menunjukkan kecekalan untuk berusaha melanjutkan pelajaran meskipun hidup dalam serba kekurangan.

“Dua daripadanya yang merupakan yatim piatu, membesar dengan adik beradik sahaja selepas kematian ibu bapa, namun masih menunjukkan minat untuk belajar.

“Kami terpanggil untuk membantu dengan memberikan kemudahan sepenuhnya. Bayangkan, ada yang hidup dalam flat kecil manakala adik bongsu masih di tingkatan empat.

“Takkan kita nak minta kedua-dua beradik itu bekerja untuk menanggung adik yang bersekolah menengah. Kami tidak mahu penuntut-penuntut ini susah hati untuk membiayai kos pengajian,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas sidang media bagi mengumumkan pendaftaran sesi akademik 2025/2026 universiti itu di sebuah kolej kediaman di Cheras melibatkan Fakulti Perubatan, di sini.

UKM mula menerima kemasukan 4,078 penuntut baharu hari ini bagi program Ijazah Sarjana Muda melibatkan tiga kampus di Kuala Lumpur, Cheras dan Bangi.

Sebahagian penuntut membawa barangan peribadi ketika hadir pada majlis pendaftaran baharu pelajar ke UKM di Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail 2 (KTDI 2) Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto Hari Anggara, 27 SEPTEMBER 2025.

Menurut Sufian, Siti Nordahlia pula mempunyai ibu bapa namun tidak bekerja dan menetap di Kajang manakala kursus yang dipilihnya sangat mencabar.

“Program anak angkat ini julung-julung kali diadakan. Kita banyak duit zakat, jadi kita gunakannya untuk membiayai mereka.

“Pemilihan sangat ketat, kita bukan pilih semata-mata kerana mereka anak yatim, kita pertimbangan banyak isu lain dan melalui tapisan yang ketat. Dalam situasi itu, mereka melepasi kelayakan masuk ke UKM.

“Kita akan teruskan program anak angkat ini namun kita tidak akan ambil ramai, mungkin setahun dua atau tiga orang,” ujarnya.

Penuntut jurusan Perakaunan, Muhammad Ahnaf Aiman Za Mohd Zain (kanan) dan penuntut jurusan perubatan, Muhammad Hazwan Harith Mohd. Yusof (kiri) bergambar bersama ketika hadir pada majlis pendaftaran baharu pelajar ke UKM di Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail 2 (KTDI 2) Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto Hari Anggara, 27 SEPTEMBER 2025.

Sementara itu, dua daripada penuntut tersebut yang merupakan anak yatim piatu ketika ditemui wakil media melahirkan perasaan terkejut dengan pengumuman UKM untuk membiayai pengajian mereka.

Kedua-duanya memaklumkan tidak mengetahui berita gembira itu dan mengucapkan terima kasih kepada pihak universiti di samping berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh demi menggenggam segulung ijazah.

Muhammad Hazwan yang berasal dari Machang, Kelantan tidak menyangka terhadap kesudian pihak universiti membantunya mengurangkan beban perbelanjaan pengajian dan penginapan.

Anak bongsu dari lima beradik itu bersyukur kerana dia tidak perlu bimbang untuk melanjutkan pelajaran dan bertekad untuk membalas jasa UKM dengan mengharumkan nama universiti.

Sementara itu, Muhammad Ahnaf Aiman yang menetap bersama kakak dan adik lelakinya di sebuah flat di ibu kota berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan yang cemerlang.

Dia yang hadir pada sesi pendaftaran ditemani ibu angkatnya memberitahu, sejak ketiadaan ibu bapa, mereka tiga beradik meneruskan kelangsungan hidup dengan bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast