Wanita warga Indonesia yang menggunakan helah menumpang cuci pakaian ketika dicekup Jabatan Imigresen Putrajaya, hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga Indonesia mencari helah menumpang cuci pakaian di sebuah pusat urutan dan refleksologi ketika serbuan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi Ops Gegar yang dilakukan di sekitar Lembah Klang, hari ini.

Ketika didekati wartawan, wanita warga asing terbabit yang hanya mahu dikenali dengan nama Chia, 25, berkata, dia datang ke situ kerana hanya mahu menumpang cuci pakaian daripada rakan yang dikenali sebagai Puteri dan sememangnya bekerja di pusat urutan tersebut.

Katanya, dia tidak tahu tempat tinggal rakannya itu menawarkan khidmat tidak bermoral kepada pelanggan.

“Sumpah saya tidak tahu tempat ini ada buat benda-benda tidak elok. Saya datang mahu tumpang cuci pakaian sahaja, tak tahu pula kalau tempat ini nak kena serbu,” katanya yang berasal dari Medan, Indonesia.

Bagaimanapun, percakapannya mencurigakan hingga akhirnya Chia sendiri mendedahkan bahawa dia juga bekerja sebagai tukang urut di situ sejak seminggu lalu.

Chia berkata, dia baru sahaja datang ke Malaysia dua bulan lepas dan menetap di Ipoh, Perak sebelum ditawarkan oleh Puteri untuk datang ke Selangor.

Katanya, Puteri telah mempelawanya dan menawarkan pekerjaan sebagai pembantu restoran di Seri Kembangan dan berjanji akan memperkenal dengan majikan yang baharu.

Namun dia menjelaskan, Puteri telah mengajaknya tinggal di situ untuk sementara dan bekerja sebagai tukang urut.

Seorang wanita yang juga warga Indonesia bersembunyi di bawah katil bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, usahanya hanya sia-sia selepas rambutnya kelihatan dari celah-celah tilam.

Wanita berusia 20-an itu kemudian ditahan bersama 86 warga asing lain dalam Ops Gegar oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Lembah Klang, hari ini.

Operasi ke atas tujuh pusat refleksologi termasuk di Seri Kembangan selepas disyaki menawarkan perkhidmatan tambahan yang tidak bermoral kepada pelanggan.

Sementara itu, ibu tunggal dikenali Ria, 27, mendakwa, dia  melakukan kerja itu kerana terdesak bagi menyara anak berusia enam tahun di kampung halamannya di Indonesia selepas ditinggalkan suami.

“Saya tahu berdosa tetapi saya terdesak, kerja di sini saya boleh dapat dalam RM2,000 ke RM3,000 sebulan, seorang pelanggan saya dapat RM80.

“Saya dapat kerja ini daripada kawan-kawan juga, mula-mula datang saya bekerja sebagai bibik (pembantu rumah) tetapi dibuang kerja, jadi terpaksa buat kerja macam ini, keluarga tidak tahu,” katanya yang ditemui di lokasi serbuan, di sini, hari ini.

Terdahulu, JIM menahan 86 warga asing terdiri daripada 76 wanita dan 10 lelaki menerusi Ops Gegar di tujuh premis di sekitar Lembah Klang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast