KUALA LUMPUR – Sekolah yang dibangunkan oleh biduanita negara, Datuk Seri Nurhaliza di Gaza, musnah dibedil bom Israel, kata wakil Yayasan Nurjiwa di Gaza, Dr Mohanad Kullab menerusi satu hantaran di Instagramnya, hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan bila kejadian itu berlaku.
“Sekolah Afwa dan Aafiyah telah pun musnah dibedil bom. Hasbunallahi Wanikmal Wakeel,” katanya.

Bagaimanapun, Siti Nurhaliza menerusi ruangan komen di hantaran tersebut meminta semua pihak bersabar dan yakin fasiliti pendidikan untuk anak-anak Palestin akan dapat dibangunkan semula pada di masa depan.
“Hasbunallah Walnikmalwakel .. akhirnya israhell membedil bagunan sekolah Afwa Al Aafiyah..
“Tak mengapa , kita pasti bangkit semula!! 💪💪💪.. @dr.mohanad.ak serta keluarga semua telah berpindah semula ke selatan..
“Kami akan membantu mereka disana.. Doakan sukarelawan & keluarga besar saya di Gaza selamat.🤲🤲🤲 Fii aamanillah,” kata penyanyi ternama itu.
Sekolah Afwa Al-Afiyah dibina pada 2021 menerusi Yayasan Nurjiwa yang dikendalikan Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.
Ia ditubuhkan bagi memberi peluang kepada kanak-kanak Palestin untuk mendapatkan pendidikan dalam suasana yang lebih selesa terutamanya semasa peperangan. -MalaysiaGazette
















