Datuk Fahmi Fadzil

SEPANG – Jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk hadir ke Malaysia bukan dibuat atas kapasiti Malaysia semata-mata, sebaliknya mewakili ASEAN secara keseluruhan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ketika ini Malaysia memegang tanggungjawab sebagai pengerusi ASEAN, sekali gus menjadi mandat negara serantau untuk menjemput pemimpin berkenaan.

“Jemputan ini bukan atas kapasiti Malaysia semata-mata tetapi dalam tempoh Malaysia menguruskan ASEAN. Maka jemputan adalah bagi pihak negara-negara ASEAN.

“Inilah peluang baik untuk semua negara ASEAN berinteraksi, bukan hanya dengan Presiden Donald Trump tetapi juga dengan ramai pemimpin dunia lain yang turut dijemput,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, platform itu secara tidak langsung memberi ruang kepada perdana menteri untuk menyatakan pendirian Malaysia berhubung isu Palestin secara terus kepada Trump, sebagaimana yang pernah dilakukan ketika Sidang APEC di San Francisco sebelum ini.

“Seperti yang kita saksikan di APEC, perdana menteri tanpa segan dan silu telah menyatakan pendirian jelas rakyat Malaysia dalam memberi sokongan penuh terhadap Palestin serta mempertikai sikap hipokrit negara-negara tertentu.

“Maka inilah tempoh yang paling sesuai untuk kita jemput Presiden AS, selain daripada menyatakan pendirian Malaysia dan memberi ruang kepada negara-negara ASEAN yang lain untuk berinteraksi serta menyampaikan pandangan mereka,” tambahnya.

Malaysia turut memainkan peranan penting dalam usaha pembangunan semula Gaza apabila sebelum ini pernah mengadakan perbincangan dengan Jepun mengenai bantuan pemulihan bumi Palestin.

“Lebih bermakna pada saat ini apabila pelbagai negara termasuk Luxembourg serta beberapa negara lain telah mengiktiraf kewujudan negara bangsa Palestin.

“Maka inilah masa yang sesuai untuk kita jemput dan kita nyatakan bukan sekadar pendirian Malaysia, tetapi hasrat kita untuk terlibat dalam membangunkan semula Palestin,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan jemputan itu sebagai pendekatan yang lebih sukar berbanding memulau, namun penting demi membuka ruang dialog dengan kuasa besar dunia.

“Kita perlukan dialog. Kalau dipulau, ia mudah. Tetapi sikap Perdana Menteri jelas kerana Malaysia mahukan dialog.

“Hal ini kerana Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat akan terus mempertahankan, menyokong, dan memperbetulkan kedudukan Palestin di peringkat antarabangsa,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast