Rahmat Ikhsan

KUALA LUMPUR – Salah seorang peserta misi kemanusiaan flotilla ke Gaza, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat menyokong kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke negara ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan depan.

Beliau menerusi laman sosial Facebook Rahmat Sumud Nusantara berkata, kehadiran Trump memberi peluang kepada Malaysia untuk mengecam pemimpin kuasa besar berkenaan berhubung isu Palestin di negara sendiri, yang disifatkan sebagai sesuatu yang lebih gah dan berani.

“Walaupun Trump tak peduli pun kena kecam sebab sudah berpuluh Presiden dan Wakil Negara mengecam US di UN (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), namun depa buat tak tau je.

“Cuma kali ini Malaysia berpeluang lebih gagah sedikit mengecam di rumah sendiri,” katanya.

Sementara itu, Rahmat tidak menolak penilaian sesetengah pihak bahawa kehadiran Trump ke Malaysia memperlihatkan Malaysia tidak sensitif terhadap nasib  penduduk di Gaza yang sedang dizalimi rejim Zionis.

Namun, katanya, beliau percaya pada pandangan penduduk Gaza, Malaysia sudah dianggap sebagai sebuah negara dengan jiwa besar apabila menjadi penaung rasmi inisiatif Sumud Flotilla.

Malah, ujar beliau, Malaysia menjadi satu-satunya negara Islam yang berani menjadi penaung rasmi kepada misi kemanusiaan itu sehingga digelar `enemy state’ oleh rejim Israel.

Selain itu, tambah Rahmat, beliau juga bersetuju dengan kehadiran Trump ke Malaysia yang mana negara ini boleh meneruskan demonstrasi dan menekan Trump dengan menunjukkan betapa rakyat Malaysia menolak AS.

“Ibaratnya, memanggil keluarga si pembuli anak kita ke rumah untuk minum petang dan sebelum diberi teh, kita memulakan bicara.

“Teh ini akan pahit saudara kerana tiada gula bagi orang yang menyakitkan anak saya,” katanya.

Di samping itu, Rahmad turut menyifatkan kehadiran Trump ke Malaysia juga sedikit sebanyak mengiktiraf kepentingan ASEAN dalam kek ekonomi dunia masa kini.

“Kita rugi jika tak menggunakan peluang ini untuk bincang balik berkaitan tarif dan polisi berkaitan semi konduktor,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan Trump sudah mengesahkan kehadirannya pada sidang Kemuncak ASEAN di ibu negara yang dijadual berlangsung pada Oktober depan.

Bagaimanapun, kehadiran Trump itu dibantah beberapa pihak termasuk oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkannya bertentangan dengan pendirian tegas Malaysia dalam mempertahankan Palestin, tetapi dalam masa sama menerima kehadiran sekutu kuat rejim Zionis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast