KEMALANGAN ngeri melibatkan lori dan beberapa kenderaan lain di di Plaza Tol Bukit Kajang semalam yang menyebabkan seorang bayi lelaki maut di lokasi. - Foto: IHSAN Bomba

 

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan mengkaji semula aspek keselamatan lebuh raya dan plaza tol dengan mengambil kira kepentingan nyawa pengguna jalan raya sebagai keutamaan.

Ketua Portfolio Pengangkutan PN, Khairil Nizam Khirudin berkata,  kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang yang meragut nyawa seorang bayi berusia setahun dan mencederakan lapan individu lain menimbulkan persoalan besar berhubung tahap keselamatan di lebuh raya.

Jelasnya, kawasan plaza tol sepatutnya direka bentuk dengan lebih selamat bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS, Khairil Nizam Khirudin pada Program MGSkop di Pejabat Malaysia Gazette. Foto MOHD ADZLAN, 21 FEBRUARI 2024.

Dalam masa sama, beliau yang juga ahli Pasukan Petugas Khas meneliti insiden kemalangan maut di Teluk Intan dan Gerik sebelum ini menjelaskan, dalam kedua-dua laporan tersebut pelbagai syor telah dikemukakan.

Ia termasuk pelaksanaan ‘speed limiter’ pada kenderaan berat, penambahbaikan sistem penyelenggaraan serta aspek penguatkuasaan lebih ketat.

“Sehubungan itu, kita menggesa kerajaan segera melaksanakan syor-syor berkenaan tanpa berlengah, kerana kelewatan bermakna nyawa rakyat terus terdedah kepada risiko,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian di Plaza Tol Bukit Kajang semalam, seorang bayi lelaki berusia setahun maut manakala lapan individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah lori yang dipercayai mengalami masalah brek.

Sementara itu, Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut  melahirkan rasa sedih dan merakam ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang tersebut.

“Tragedi ini tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa tindakan tegas.

“Setiap nyawa adalah amanah dan keselamatan rakyat mesti menjadi agenda utama negara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast