GOMBAK – Kerajaan belum bercadang untuk mengenakan bayaran masuk ke kota bagi kenderaan persendirian seperti yang dilakukan di beberapa negara lain, kerana bimbang ia akan membebankan rakyat pada masa ini.
Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah seperti itu mungkin perlu dilaksanakan pada masa depan apabila sistem pengangkutan awam negara menjadi lebih menyeluruh dan efisien, terutama di kawasan bandar besar.
Beliau turut mengimbas kembali usaha serupa yang pernah dilakukan pada tahun 1990-an, namun gagal kerana perkhidmatan bas yang tidak memuaskan serta menyebabkan kesesakan dan ketidakselesaan pengguna.
“Dulu orang beratur dalam panas, bas sesak, laluan tidak selesa. Tapi sekarang keadaan sudah berubah. Pengangkutan awam lebih selesa dan teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Terminal Bersepadu Gombak (TBG), di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam pada itu perdana menteri berkata, kerajaan kini sedang berusaha menarik lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam, terutamanya apabila projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap kelak.
“ECRL ini ada banyak stesen. Ia boleh dimanfaatkan sepenuhnya jika kita sediakan prasarana lengkap bukan sekadar teknologi canggih, tetapi juga memenuhi keperluan rakyat,” jelasnya.
Beliau mencadangkan kemudahan termasuk menyediakan kedai, restoran, hotel dan juga pejabat agensi kerajaan seperti Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di stesen-stesen ECRL bagi memudahkan rakyat. – MalaysiaGazette
















