KUALA LUMPUR – Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memberi jaminan akan membantu dengan menawarkan pembiayaan dan laluan kerjaya yang baik kepada seorang pelajar cemerlang yang terpaksa berhenti belajar dan bekerja kilang atas faktor kemiskinan.
Asyraf Wajid menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini berkongsi mengenai kisah pelajar itu yang mendapat 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Purata Mata Gred Kumulatif (CGPA) 3.87 di peringkat Asasi.
Menurut beliau, pelajar lepasan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tersebut terpaksa berhenti belajar dan bekerja kilang selepas bapanya sakit, manakala ibunya hanya bekerja membantu membungkus nasi lemak.
Katanya, pelajar itu membuat keputusan tidak meneruskan pengajian ke kampus induk dan bekerja kilang untuk menampung keluarga, selepas pihak universiti memaklumkan tidak dapat menawarkan bantuan.
“Pagi-pagi dah terima mesej ada pelajar cemerlang SPM 9A, Asasi 3.87 tapi berhenti belajar untuk kerja kilang sebab faktor kemiskinan.
“MARA akan tawar pembiayaan belajar kejuruteraan elektrik dan laluan kerjaya yang baik di BMI, UniKL,” katanya.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau juga sudah meminta UMNO Bahagian untuk membantu mendapatkan bantuan kepada keluarga berkenaan.
Dalam masa sama, ujarnya, beliau sendiri akan berjumpa dengan pelajar berkenaan untuk memujuknya meneruskan pengajian.
“Saya dah berbincang dengan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA lepas Subuh tadi dan bersetuju untuk menawarkan tempat dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di British Malaysia Institute (BMI) bawah UniKL yang seiring dengan pencapaian keputusan Asasinya.
“Sesungguhnya hanya dengan ILMU sahaja boleh merubah kehidupan,” katanya. – MalaysiaGazette
















