Tangkap layar rakaman video yang tular memaparkan insiden pergaduhan membabitkan dua pemandu di laluan masuk BSI, Johor Bahru semalam.

 

 

JOHOR BAHRU – Pergaduhan dua pemandu lelaki di laluan masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, yang tular dalam media sosial semalam berpunca daripada Toyota Vellfire yang memasuki lorong bas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian dipercayai berlaku pukul 3 petang melibatkan seorang pemandu lelaki e-hailing, 28, dengan pemandu bas, 43.

“Pergaduhan dipercayai bermula selepas berlaku pertikaian apabila Toyota Vellfire dipandu pemandu e-hailing memasuki laluan bas.

“Berlaku provokasi antara kedua-duanya sehingga menyebabkan pemandu bas berhenti dan turun bersemuka dengan pemandu e-hailing terbabit.

“Akibatnya, pergelutan fizikal berlaku antara kedua-duanya sehingga kedua-duanya cedera ringan di kepala, leher dan tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, kedua-dua pihak kemudian hadir ke balai polis bagi membuat laporan berhubung perkara tersebut.

Tambah Raub, kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan melibatkan gaduh gempar.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda yang boleh sampai RM1,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, video berdurasi 14 saat memaparkan pergelutan dua lelaki di tengah jalan dengan kenderaan berhenti dipercayai di Tambak Johor, sebelum ditenangkan seorang lelaki.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast