SEPANG – Enam rakyat Malaysia misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menaiki kapal, Johnny M disahkan selamat dan terpaksa berundur selepas mengalami kebocoran enjin.
Ketua Pengarah dan jurucakap Sumud Nusantara Comand Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim berkata, kapal itu telah dikosongkan dan mereka dipindahkan ke kapal lain yang terlibat dalam misi itu pukul 2 petang waktu Malaysia.
“Laporan diterima jam 7.45 pagi waktu Malaysia mengesahkan kapal Johnny M (observer boat) mengalami kerosakan teknikal dan kebocoran pada ruangan enjin serta dimasuki air.
“Masalah ini menyebabkan Johnny M tidak dapat meneruskan misi. Justeru daripada 47 kapal yang kita ada kini tinggal 46 sahaja yang teruskan perjalanan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau menambah, semua peserta dalam kapal Johnny M tidak terlibat sebarang insiden dan berada dalam keadaan sihat.
“SNCC juga menafikan berita adanya kapal delegasi yang terbakar dan perkhabaran itu hanyalah berita tidak sahih dan Misi Flotila ini tetap diteruskan ke Gaza.
“Semua pihak termasuk keluarga sukarelawan dan masyarakat digesa untuk terus mendokong dan tidak terpengarah dengan cubaan melemahkan solidariti antarabangsa ini.
“Kita juga memohon semua pihak merujuk kepada maklumat dikeluarkan SNCC dan sebarang maklumat tidak sahih hanya akan memenangkan propaganda Zionis dan membina naratif salah,” jelasnya.
Terdahulu, salah seorang peserta misi, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi perkembangan keadaan kapal Johnny M.
Kapal terbabit mengalami masalah keobocoran enjin dan insiden itu, katanya, tidak menghalang peserta misi kemanusiaan terlibat untuk berlayar menuju destinasi yang dirancang. – MalaysiaGazette
















