Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus

KUALA LUMPUR – Pesalah lalu lintas di ibu negara akan dikenakan tindakan saman bermula 1 Oktober ini selepas sebulan program advokasi menerusi Ops Patuh Undang-Undang (Op PUU) dijalankan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, amaran telah diberi dan sehingga kini masih ramai pengguna jalan raya gagal mengambil serius terhadap kempen tersebut.

“Tiada lagi amaran diberikan, saman serta-merta akan dikenakan sekiranya kita dapati mana-mana pelanggaran peraturan lalu lintas dilakukan pengguna jalan raya.

“Tempoh advokasi sebelum ini seolah-olah tidak memberi kesan kerana ramai yang tetap berdegil,” katanya ketika ditemu bual dalam sebuah rancangan, har ini.

Ketua Polis Kuala Kumpur, Datuk Fadil Marsus membuat teguran dan mengeluarkan notis kepada penunggang motosikal yang melanggar peraturan jalan raya ketika kempen advokasi Operasi Patuh Undang-Undang (OP PUU) di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Foto Hari Anggara, 12 SEPTEMBER 2025.

Tambah beliau, sepanjang tempoh kempen bermula 6 September lalu, hampir 70,000 notis advokasi dikeluarkan di kawasan tumpuan sekitar ibu kota.

“Jumlah ini membimbangkan kerana menunjukkan mereka sedar melakukan kesalahan, tetapi masih sengaja melanggarnya.

“Antara kesalahan paling kerap dikesan ialah parkir berlapis sehingga mengganggu aliran trafik, berhenti di atas garisan putih dan lintasan pejalan kaki.

“Selain itu melanggar lampu isyarat merah serta tidak memakai atau mengikat tali topi keledar dengan sempurna,” ujarnya.

Fadil menambah, penguatkuasaan penuh itu akan dilakukan secara berterusan, bukan bermusim, bagi memastikan masyarakat lebih berdisiplin di jalan raya.

“Operasi ini dijalankan 24 jam sehari, sepanjang tahun di seluruh Kuala Lumpur dan semua anggota dari setiap daerah akan digerakkan.

“Operasi ini tiada tempoh akhir, ia akan diteruskan sehingga kita melihat perubahan sikap positif dalam masyarakat,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast