KEMALANGAN ngeri melibatkan lori dan beberapa kenderaan lain di di Plaza Tol Bukit Kajang semalam yang menyebabkan seorang bayi lelaki maut di lokasi. - Foto: IHSAN Bomba

 

GOMBAK – Bayi lelaki berusia setahun yang maut akibat tercampak keluar daripada kenderaan dalam nahas di Plaza Tol Bukit Kajang Sabtu lalu didapati tidak diletakkan di dalam kerusi kanak-kanak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang mendedahkan perkara berkata,  perkara itu diperoleh hasil laporan dan siasatan awal polis susulan kejadian kemalangan yang membabitkan lori muatan lusuh dengan empat kenderaan lain.

“Saya tidak menyalahkan mangsa atau ibu bapa, tetapi ini satu peringatan penting kepada semua. Ramai yang mengeluh apabila kerajaan mewajibkan penggunaan child seat (kerusi kanak-kanak) kerana faktor kos, namun insiden ini membuktikan betapa pentingnya ciri keselamatan itu.

“Bayangkan jika bayi tersebut berada dalam child seat, kemungkinan besar dia tidak tercampak keluar dan nyawanya masih boleh diselamatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.

Loke berkata, child seat adalah ciri keselamatan tambahan yang terbukti mampu melindungi nyawa penumpang kecil dan ia tidak boleh dipandang ringan.

“Setiap ciri keselamatan yang diperkenalkan mempunyai fungsi dan kebaikan tersendiri. Insiden ini sekali lagi membuktikan bahawa mengabaikan child seat boleh membawa risiko besar kepada kanak-kanak,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menegaskan penyelenggaraan kenderaan berat juga tidak boleh hanya bergantung kepada pemeriksaan Puspakom yang dilakukan setiap enam bulan.

“Lori terbabit mempunyai permit sah, rekod Puspakom masih valid, tetapi itu tidak bermakna pengendali boleh lepas tangan.

“Penyelenggaraan mesti dilakukan sepanjang masa. Dalam kes ini jelas brek lori gagal berfungsi sehingga merempuh plaza tol dan beberapa kenderaan lain,” tambahnya.

Katanya lagi, syarikat lori berkenaan hanya memiliki dua permit dengan dua lori aktif, namun kejadian itu cukup untuk memberi peringatan keras kepada semua pengusaha pengangkutan supaya memastikan kenderaan sentiasa selamat digunakan.

“Pemandu lori itu sendiri dilaporkan terpaksa melompat keluar untuk menyelamatkan diri kerana brek gagal berfungsi. Polis masih meneruskan siasatan penuh, tetapi bukti awal termasuk rakaman video sudah menunjukkan kegagalan sistem brek,” katanya.

Menurutnya lagi, kementerian menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak polis, termasuk pengesahan teknikal terhadap kerosakan brek lori terbabit.

“Namun apa yang pasti, bayi tersebut  tercampak keluar kerana tiada child seat dan meninggal dunia,” katanya.

Pada 27 September lalu, seorang bayi lelaki maut manakala lapan individu lain cedera dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang.

Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, mangsa yang tersepit di bawah kenderaan berjaya dikeluarkan anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast