GEORGE TOWN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang berharap kerajaan memberi penekanan khusus terhadap pembangunan belia India dalam Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan.
Ketua AMK negeri, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, beliau menyambut baik usaha kerajaan dalam merangka Belanjawan 2026 yang inklusif dan berpaksikan kesejahteraan rakyat namun terdapat cabaran tertentu melibatkan golongan belia India yang wajar diberi perhatian.
“Cabaran itu merangkumi aspek pendidikan, peluang pekerjaan serta kesejahteraan sosial yang masih membelenggu sebahagian belia India di negara ini.
“Masih wujud kelompok belia yang kurang akses kepada pendidikan berkualiti dan latihan kemahiran. Selain itu, sebahagian mereka berdepan kekangan untuk bersaing dalam pasaran kerja, terutama dalam sektor strategik serta berkemahiran tinggi.
“Terdapat juga isu sosial tertentu yang menjejaskan belia India dan memerlukan intervensi bersepadu serta berterusan,” katanya, di sini.
Sehubungan itu, AMK Pulau Pinang mencadangkan beberapa langkah, antaranya program pendidikan dan TVET bersasar, dana keusahawanan belia, sokongan sosial serta penyertaan dalam sektor strategik seperti digital, teknologi hijau dan industri masa depan negara.
Muhammad Zakwan berkata, pelaburan dalam pembangunan belia India bukan sahaja membantu meningkatkan taraf hidup mereka, malah menyumbang kepada kekuatan ekonomi serta perpaduan negara secara keseluruhan.
“AMK Pulau Pinang yakin kerajaan akan terus mendengar suara generasi muda dan mengambil langkah proaktif agar Belanjawan 2026 benar-benar mencerminkan semangat Malaysia Madani yang inklusif serta adil untuk semua,” katanya. – MalaysiaGazette
















