GEORGE TOWN – Bekas pengawal keselamatan dihukum penjara 12 bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana memecah masuk pejabat Kopa Arena Universiti Sains Malaysia (USM), bulan lalu.
Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Zulkifli Ghazali, 38, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah juga memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap selain tertuduh akan dipenjara tiga bulan lagi sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memecah masuk sebuah premis yang digunakan sebagai tempat simpan harta dengan tujuan mencuri sebuah kamera Canon IDX Mark II, kanta kamera Canon masing-masing satu jenis 100-400mm dan 24-70mm, mikrofon jenama DJI serta 14 helai jersi Penang FC milik 59 Kopa Sdn. Bhd dengan anggaran kerugian bernilai RM20,000.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Kopa Arena USM, Gelugor di sini, jam 5.09 pagi pada 28 Ogos lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda, atau sehingga 14 tahun serta sebatan jika kesalahan dilakukan dengan niat mencuri.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor jumlah kerugian dan pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat umum.
Bagaimanapun, dalam mitigasi rayuan Asmeeta Rajendran dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh mohon hukuman penjara dari tarikh tangkap dan denda minimum atas alasan lelaki itu penganggur serta mempunyai empat orang anak.
ARTIKEL BERKAITAN
Media pada 28 Ogos lalu melaporkan, Pejabat operasi Kopa Arena Penang di USM dipecah masuk menyebabkan kerugian kira-kira RM200,000 apabila kenderaan rasmi, set kamera, jersi pasukan dan wang tunai hilang.
Pengurus pejabat operasi itu, Muhammad Fazren Mohamed Khalid berkata, antara barangan yang dilarikan termasuk sebuah Ford Raptor yang dibalut logo Penang FC, kamera jenis Canon bersama dua lensa digunakan untuk liputan perlawanan, beberapa helai jersi serta sejumlah wang tunai.
Difahamkan, kenderaan Ford Raptor berkenaan ditemukan semula di kawasan Changkat Bukit Gambir di sini, namun siasatan lanjut masih dijalankan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette















