Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan bersedia untuk mengemukakan hujah dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, hujahan bertulis telah siap.

“Arahan Ketua Hakim Negara ialah supaya pendengaran rayuan ditetapkan pada penghujung November atau awal Disember. Pihak perayu telah bersedia dengan hujahan yang sudah siap.

“Namun, peguam responden, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, memohon tarikh pendengaran ditetapkan pada bulan Januari, yang mana tidak dipersetujui oleh mahkamah,” katanya ketika dihubung,i hari ini.

Beliau yang merupakan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata demikian selepas sesi pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Mahyun Yusof, hari ini.

Menurut Wan Shaharuddin, mahkamah meminta kedua-dua pihak mengemukakan surat rasmi berhubung cadangan tarikh pendengaran.

Sementara itu, Hisyam yang mengesahkan perkara itu memberitahu, beliau telah memaklumkan Timbalan Pendaftar bahawa tarikh sesuai bagi pihaknya ialah pada pertengahan hingga akhir Januari.

Pada 22 September lalu, pendakwaan selaku perayu telah memfailkan petisyen rayuan dengan mengemukakan 25 alasan mengapa Mahkamah Persekutuan sepatutnya mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 25 Jun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara membenarkan rayuan Syed Saddiq, sekali gus melepas dan membebaskannya daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi.

Syed Saddiq sebelum ini didakwa pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast