KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa Israel dilaporkan telah bersiap sedia untuk memintas puluhan kapal yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dan ratusan aktivis ke darat untuk dihantar pulang atau ditahan.
Akhbar The Times of Israel melaporkan, operasi berkenaan berkemungkinan memuncak ketika Yom Kippur iaitu hari paling suci dalam agama Yahudi yang bermula malam Rabu.
Untuk rekod, konvoi GSF kini sudah berada kira-kira 120 batu nautika dari pantai Gaza dan dalam misi-misi sebelum ini, tentera laut Israel akan memintas bot-bot tersebut sebelum mereka sempat menghampiri pantai Gaza.
Dalam pada itu, akhbar tersebut turut melaporkan, Kementerian Luar Israel dalam satu kenyataan pada Selasa mendakwa mempunyai dokumen yang boleh membuktikan “terdapat hubungan langsung di antara pemimpin-pemimpin GSF dengan kumpulan Hamas,” terutamanya sayap kumpulan asingnya iaitu Palestinian Conference for Palestinians (PCPA).
ARTIKEL BERKAITAN
Minggu lalu, jurucakap Israel Defence Force (IDF), Brig. Jeneral Effie Defrin berkata Tentera Laut bersedia untuk memintas bot-bot tersebut, walaupun beliau mengakui tugas itu lebih mencabar kali ini kerana jumlah bot yang terlibat lebih banyak berbanding misi-misi sebelum ini.
Katanya, disebabkan itu, IDF dijangka menawan bot tersebut sebelum menahan para aktivis dan membawa mereka ke sebuah kapal besar tentera laut.
Mereka kemudiannya akan dibawa ke Pelabuhan Ashdod untuk dihantar pulang dari negara tersebut.
Beberapa bot aktivis mungkin juga akan ditunda ke Pelabuhan Ashdod, namun sumber tentera berkata, mereka menjangkakan sebahagiannya mungkin ditenggelamkan di laut oleh tentera laut.
Media berbahasa Ibrani melaporkan pada Selasa, kira-kira 600 pegawai polis terlibat dalam usaha memindahkan para peserta, sebaik sahaja mereka dibawa ke Pelabuhan Ashdod, ke sebuah fasiliti di selatan Israel ketika Yom Kippur, dan seterusnya menghantar pulang mereka yang bersetuju untuk diusir pada malam Khamis.
Manakala saluran Channel 12 pula melaporkan, bagi mereka yang enggan, kakitangan Kementerian Dalam Negeri akan menguruskannya melalui sebuah tribunal khas yang akan dibentuk di penjara Ketziot.
Tambahnya, kira-kira 80 ambulans disediakan berhampiran pantai sekiranya peserta flotila memerlukan rawatan perubatan dan beberapa hospital telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Akhbar Haaretz pula melaporkan, pegawai keselamatan Israel telah mengesyorkan kerajaan supaya mencapai persefahaman diplomatik dengan penganjur flotila dan bukannya campur tangan ketenteraan.
Mereka juga percaya bahawa pemimpin politik tidak meneliti pilihan ini dengan secukupnya.
Namun, laporan itu turut menyatakan, para penganjur telah menolak semua tawaran yang dikemukakan kepada mereka. – MalaysiaGazette
















