Barisan Majlis Belia India Malaysia (MIYC) diterajui oleh Dhanesh Basil.

KUALA LUMPUR – Lebih 500 wanita muda India dari seluruh negara akan berhimpun di Dewan Seri De Endon, Puspanitapuri, Putrajaya pada 12 Oktober ini dalam Konvensyen Beliawanis India Malaysia 2025.

Buat pertama kali, program berskala nasional yang dianjurkan Majlis Belia India Malaysia (MIYC) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu menghimpunkan golongan beliawanis yang bekerja dan mahasiswi dari pelbagai negeri.

Konvensyen ini akan dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Presiden MIYC, Dhanesh Basil menyifatkan konvensyen ini sebagai inisiatif bersejarah yang menjadi jambatan kepada generasi muda untuk membina keyakinan diri, mengasah kepimpinan, serta membuka jaringan strategik.

“Setakat ini, kita sudah menerima pendaftaran mahasiswa daripada pantai timur, utara dan Johor. Mereka hadir bukan sekadar untuk belajar, tetapi untuk membina masa depan yang lebih kukuh,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Konvensyen ini dijangka diisi dengan forum, bengkel dan pameran interaktif Rakan Muda yang memberi peluang kepada peserta menyelami pelbagai program pembangunan belia, peluang kerjaya, serta sokongan keusahawanan.

Namun, di sebalik semangat ini, terselit kebimbangan yang mahu diketengahkan apabila Ketua Wanita MIYC, G Kanaha Walli, mengingatkan tentang cabaran sebenar beliawanis hari ini tidak hanya pada soal peluang kerjaya, tetapi juga beban kewangan.

“Ramai wanita muda India berumur 25 hingga 30 tahun menghadapi kesukaran merancang masa depan. Kos perkahwinan dalam masyarakat India boleh mencecah sekurang-kurangnya RM100,000. Ia menjadi beban besar yang ditanggung baik lelaki mahupun wanita kerana tekanan sosial,” ujarnya.

Bagi Kanaha, penyelesaian ini bermula dengan literasi kewangan.

“Kita mahu beliawanis bersedia dari awal bukan hanya dari segi akademik, tetapi juga dari segi kewangan dan pengurusan hidup. Inilah isu penting yang akan kita ketengahkan di konvensyen ini,” ujarnya.

Antara pengisian utama termasuk Forum Kepimpinan Wanita Muda, sesi polisi dan advokasi yang memberi ruang suara kepada peserta, serta bengkel pembangunan diri dengan topik komunikasi berkesan, inovasi digital, keusahawanan dan kerja komuniti.

Lebih menarik, konvensyen ini juga memberi pentas kepada usahawan wanita muda untuk mempamerkan produk mereka menjelang sambutan Deepavali, sekali gus menjadikan acara ini bukan sekadar persidangan, tetapi sebuah ekosistem pemberdayaan.

Kehadiran tokoh korporat, pemimpin belia, wakil universiti serta pembuat dasar akan menguatkan lagi mesej bahawa suara wanita muda tidak boleh dipinggirkan dalam pembangunan negara.

Dengan sokongan padu KBS, MIYC berhasrat menjadikan konvensyen ini acara tahunan sebuah platform yang bukan hanya melahirkan pemimpin pelapis, tetapi juga agen perubahan yang mampu membawa suara beliawanis ke arus perdana, selari dengan aspirasi Malaysia Madani. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast