KUALA LUMPUR – Selepas seminggu bertarung nyawa, kanak-kanak lelaki yang kritikal selepas dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya dalam kejadian di Jelawat, Bachok, Kelantan, Khamis lepas disahkan meninggal dunia hari ini.
Allahyarham Muhammad Ammar Badrul, 7 tahun, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, jam 3.02 petang tadi.
Perkhabaran duka itu dikongsikan bapanya, Muhammad Badrul Remli, 31, menerusi hantaran status WhatsApp yang turut meminta orang ramai untuk sama-sama bersedekah Al-Fatihah kepada allahyarham.
Media sebelum ini melaporkan, kanak-kanak malang itu mengalami pendarahan tidak berhenti di bahagian kepala akibat dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya yang berusia 46 tahun di sebuah rumah kedai, di Jelawat, Bachok, Khamis lalu.
Mangsa kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, HPUSM dan perlu bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.
Suspek yang melarikan diri selepas kejadian itu ditemukan meninggal dunia di Pantai Melawi, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















