Misi Global Sumud Flotilla (GSF) mula memasuki zon merah menuju ke Gaza ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Sumud Nusantara Command Centre di MAPIM Central Warehouse, Sepang. Foto AIZAT ZAINAL, 1 OKTOBER 2025.

SEPANG – Misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan kemanusian dan mesej keamanan telah berjaya melepasi Zon Merah R3 untuk menuju ke persisiran pantai Gaza, pada jam 9.20 malam waktu Malaysia.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Comand Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abd Alim Araby berkata, jarak mereka ke persisiran pantai Gaza adalah 100 batu nautika dan dijangka tiba sekitar jam 6.32 petang esok.

“Jika tiada sebarang halangan daripada rejim zionis, misi GSF akan memasuki Zon Merah R2 esok pukul 4.08 pagi waktu tempatan atau 11.08 malam ini waktu Gaza.

“Kami di sini akan terus memantau rapat perkembangan kapal-kapal ini, 24 jam sentiasa berhubung dengan mereka dan cuba sedaya upaya memberikan sokongan moral kepada di atas kapal.

“Walau bagaimanapun, mereka ini dalam fasa-fasa latihan, fasa membuat persediaan dan kita tak benarkan mereka untuk banyak berkomunikasi dengan dunia luar kerana mungkin itu akan memberi sedikit sebanyak gangguan.

“Jadi kita doakan ini adalah fasa-fasa (penting) yang insya-Allah berakhir dengan kemenangan,” katanya pada media mengenai perkembangan semasa di sini hari ini.

Beliau juga menambah, ketika ini kapal Suelle mendahului 44 kapal yang lain dengan kelajuan 5.5 knot. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast