KUANTAN – Pas mendoakan keselamatan semua peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) melibatkan 46 buah kapal yang kini berada di zon pintasan tentera laut Israel.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, menurut laporan media mereka kini berada dalam lingkungan 150 batu nautika dari pantai Gaza dan dijangka memasuki zon merah perairan malam ini, waktu Malaysia.
”Semakin mereka menghampiri destinasi misi yang bertujuan untuk memecahkan sekatan haram Israel serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, semakin tinggi tekanan yang mereka hadapi.
”Dengan penuh keyakinan terhadap pertolongan dan kekuasaan Allah, kami mengharapkan agar misi ini mencapai kejayaan gemilang dalam memecahkan tembok kezaliman Israel,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka itu, seluruh dunia sedang memerhati pergerakan ini, dan ia berpotensi menjadi mercu tanda kehancuran keegoan Israel dan sekutunya.
Seramai 34 sukarelawan Malaysia menyertai misi GSF. – MalaysiaGazette















