Mohd. Na'im Mokhtar ditemui wakil media selepas menyampaikan amanat kepada pelajar Tajaan Skim Pembiayaan Huffaz (SPH), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) 2025 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor. 2 OKTOBER 2025.

BANGI – Bantuan wang tunai RM1,500 akan disalurkan kepada 34 keluarga sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, bantuan itu akan dipercepatkan bagi meringankan beban dan menghapuskan kebimbangan ahli keluarga yang terkesan.

Menurut beliau, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim Malaysia) akan berurusan dengan ahli keluarga sukarelawan dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan butiran mereka agar bantuan diagihkan secepat mungkin.

“Sudah ada usaha dilakukan melalui Mapim untuk berhubungan dengan ahli keluarga sukarelawan dan kita akan bertemu mereka bagi membolehkan bantuan segera disalurkan.

“Kita tidak mahu mereka bimbang atau tertekan ekoran pemergian ahli keluarga menyertai misi tersebut,” ujarnya.

Beliau ditanya usaha yang dilakukan pihak berkuasa agama ekoran penahanan sejumlah sukarelawan Malaysia yang mengikuti misi GSF bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

Mohd. Na’im menyatakan demikian selepas menyampaikan amanat kepada pelajar Tajaan Skim Pembiayaan Huffaz (SPH), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) 2025 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 150 penuntut menerima tajaan SPH yang akan mengikuti pengajian di pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Ketika ditanya sama ada bantuan RM1,500 itu akan diberikan secara bulanan memandangkan ketidaktentuan tempoh pemergian sukarelawan ke Gaza, beliau menjelaskan, pihaknya akan meneliti perkara itu.

Kata beliau, pihaknya bersedia untuk mempertimbang bantuan kewangan selanjutnya berdasarkan keperluan ahli keluarga mereka.

“Ketika saya melawat pusat kawalan di Sepang, Sabtu lalu, keadaan ketika itu masih terkawal. Kini penahanan telah berlaku dan sudah tentu mereka bimbang dengan keselamatan ahli keluarga masing-masing,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum ini Mapim telah menyalurkan wang pendahuluan sebanyak RM5,000 kepada 34 sukarelawan yang mengikuti misi tersebut.

Ujar beliau, kesemua ahli keluarga tersebut juga memerlukan sokongan moral dan spiritual bagi menenangkan emosi mereka ekoran ketidaktentuan tempoh pemergian sukarelawan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast