GEORGE TOWN – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) sudah mengenal pasti dua lelaki yang didakwa menaiki motosikal sambil menarik seekor anjing dalam kejadian di Jelutong di sini.
JPVPP dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima aduan berhubung video tular kejadian berkenaan sebelum mengambil tindakan susulan.
“Hasil tindakan yang dijalankan, kedua-dua individu berkenaan telah dikenal pasti dan anjing berwarna hitam yang terlibat dalam kejadian tersebut turut disita oleh pihak JPVPP untuk tujuan pemeriksaan serta rawatan veterinar,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, JPVPP memandang serius setiap aduan berkaitan kebajikan haiwan dan kejadian itu akan disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772].
JPVPP turut menegaskan bahawa sebarang tindakan terhadap haiwan yang boleh menjejaskan kebajikan dan kesihatan atau menyebabkan penderitaan kepada haiwan hendaklah dielakkan.
“Orang awam juga disaran tidak membuat sebarang spekulasi yang menjejaskan siasatan dan dinasihatkan agar menyalurkan maklumat atau membuat aduan melalui saluran rasmi yang disediakan oleh jabatan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Terdahulu, tular video berdurasi 54 saat memaparkan dua lelaki mengheret sekor anjing menggunakan motosikal yang mencetus kecaman pelbagai pihak. – MalaysiaGazette
















