KUALA LUMPUR – Pendedahan bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berhubung kewujudan budaya `Deep State’ dan `Little Napoleon’ dalam Kementerian Pendidikan (KPM) disifatkan langkah cukup berani, jujur dan mementingkan pendidikan melampaui batas populariti politik.
Pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berkata, sebagai seorang yang pernah menerajui KPM, kenyataan terbuka Maszlee itu sudah semestinya mempunyai kesan yang besar.
Menurutnya yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM, kenyataan itu sedikit sebanyak menjejaskan reputasi dan mempengaruhi kepercayaan ibu bapa terhadap KPM serta sistem pendidikan negara.
Jelasnya, beliau percaya adalah sukar untuk Maszlee membuat kenyataan seperti itu apatah lagi KPM ketika ini sedang diterajui oleh rakan kepimpinan daripada parti politik beliau sendiri.
“Mereka sama-sama dalam satu parti. Tentu tidak mudah untuk membuka ‘pekung’ ketika pemimpin utama partinya sedang menerajui KPM.
“Apakah KPM akan memberi kenyataan rasmi untuk respons berkait kenyataan Dr Maszlee Malik?
“Adakah KPM akan memilih untuk berdiam diri sahaja dan membiarkan masyarakat membuat spekulasi masing-masing? Kita tunggu dan lihat perkembangan ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Maszlee mendakwa budaya `Deep State dan Little Napoleon’ (penjawat awam bawahan yang berada di sesuatu kedudukan tetapi berlagak seolah-olah begitu berkuasa) dalam KPM adalah sesuatu yang benar.
Menurut Maszlee, keengganan penjawat awam melaksanakan arahan menteri bukan sesuatu yang asing sewaktu beliau menjadi Menteri Pendidikan.
Sementara itu, Anuar menambah, isu budaya `Deep State’ dan `Little Napoleon’ dalam KPM seperti dibangkitkan Maszlee juga sama seperti yang difikirkan beliau sejak sekian lama.
Apatah lagi, ujarnya, beliau sendiri sering mendengar keluh-kesah guru-guru termasuk pengetua dan guru besar (PGB) dan pegawai pelaksana di pelbagai peringkat terkait isu yang sama.
“Tetapi saya tidak mahu menambah kekecewaan mereka. Sebab saya tidak mahu pandangan saya nanti sekadar bergantung pada ‘hearsay‘ semata-mata.
“Tetapi apabila Dr Maszlee Malik sendiri sebagai mantan Menteri Pendidikan membuat kenyataan terbuka dan mengaku wujudnya keadaan seperti yang dikatakan itu, saya tiada ragu-ragu lagi,” katanya.
Malah, tambah beliau, pendedahan Maszlee itu juga membantunya untuk memahami punca sistemik yang menyebabkan sistem pendidikan negara tidak semaju Singapura walaupun sejarah awal sistem pendidikan Malaysia dan negara itu adalah sama.
Sedangkan, jelasnya, berbanding Singapura, Malaysia mempunyai sumber manusia, peruntukan kewangan dan keupayaan jentera pendidikan yang jauh lebih baik sejak awal tahun 1960-an dan 1970-an.
“Tidak ada sebab mengapa sistem pendidikan negara kita tidak boleh semaju sistem pendidikan Singapura.
“Hari ini, barulah saya nampak apa sebabnya,” katanya. – MalaysiaGazette
















