KUALA LUMPUR – Jalan Tun Razak di ibu negara petang ini digemakan dengan laungan takbir ‘Allahuakbar’ dan ‘hancur Israel’ susulan Himpunan Sumud Flotilla #Stand4Sumud yang diadakan sebagai solidariti dan protes terhadap sekatan misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Orang ramai yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur mula berkumpul sejak pukul 12 tengah hari dan menjadi semakin ramai kira-kira pukul 3 petang.
Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi mendapati, peserta membawa plakad dan paparan gambar rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi GSF.
Malah, ada dalam kalangan mereka yang menzahirkan rasa sebak selepas insiden yang menimpa misi GSF serta nasib rakyat Palestin yang dizalimi Zionis Israel.
Peserta melaungkan ‘Hidup Palestin’, ‘Hancur Zionis’ sebelum bergerak ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) kira-kira pukul 4 petang.
Pihak penganjur mengingatkan peserta agar tidak membuat sebarang provokasi yang melanggar undang-undang.

Terdahulu sebelum itu, media melaporkan seramai 201 aktivis kemanusiaan dari 36 buah negara, termasuk 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ditahan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IOF) dalam satu insiden tegang di perairan antarabangsa, awal pagi tadi.
Penahanan mereka itu disahkan aktivis kemanusiaan Malaysia di Gaza, Nadir Al-Nuri.
Sehingga pukul 10 pagi, dilaporkan seramai 17 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan dipintas tentera Israel di perairan Gaza setakat ini. – MalaysiaGazette
















