Muhammad Faiz mengaku salah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan tekap seterika panas pada bahagian lengan anak saudaranya.

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja syarikat seni bina mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan menganiaya anak saudaranya, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Faiz Aresah, 21, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, telah menganiayai budak berkenaan di sebuah rumah di Kampung Parit Jamal, Benut, Pontian, pukul 2.30 petang, 16 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zuhainie Zull Kafli tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan terbabit tidak boleh dijamin.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan tertuduh diikat jamin.

“Tertuduh bekerja di sebuah syarikat seni bina di Pontian dengan gaji RM1,000 sebulan. Tertuduh membantu ibu bapanya menanggung adik-beradik lain yang masih bersekolah.

“Bapanya hanya bekerja kampung dengan menanam sayur dengan pendapatan tidak menentu, manakala ibunya bekerja kilang dan menangung empat anaknya yang lain,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang pemjamin berserta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah jika ada dan perlu melapor diri di Balai Polis Benut sebulan sekali.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula para 6 November ini bagi fakta dan hukuman selain sementara menunggu laporan perubatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes berkenaan pada 26 September lalu.

Beliau berkata, kejadian itu dilaporkan guru sekolah mangsa yang menyedari terdapat kes melecur yang teruk di lengan kanan mangsa.

“Mangsa mendakwa sedang bermain bersama-sama ibu saudara yang berusia 10 tahun di ruang tamu rumah dan dikatakan membuat bising sehingga menyebabkan tertuduh berasa marah dan menekap seterika ke lengannya.

“Hasil pemeriksaan di hospital mendapati mangsa mengalami kecederaan ‘alleged physical abused sustained thermal burn over the right upper limb’ dan kemudian ditahan wad,” katanya ketika dihubungi, hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.