KUALA LUMPUR – Seorang murid Tahun 7, Krishh Haran Nair dari Sunway International School, Iskandar Puteri, Johor tampil dengan suara penuh keberanian apabila menyentuh isu Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini menggemparkan dunia.
Dengan nada berbaur emosi, Krishh berkata misi flotila yang disertai lebih 40 kapal dari lebih 40 negara termasuk Malaysia hanyalah bertujuan membawa makanan, ubat-ubatan serta bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.
“Tetapi sesuatu yang sangat menyedihkan berlaku. Pada 1 dan 2 Oktober lalu, flotila itu dipintas tentera Israel. Beberapa kapal dihentikan dan ramai aktivis ditahan, termasuk rakyat Malaysia.
“Mereka bukan penjenayah, bukan pengganas. Mereka adalah aktivis dan sukarelawan dengan hati yang besar,” kata Krishh dalam laman sosial hari ini.
Kanak-kanak berbangsa India itu menyebut nama-nama rakyat Malaysia yang berada dalam misi tersebut seperti Hazwani Helmi, Heliza Helmi dan Farah Lee yang menurutnya cukup berani menegakkan keadilan.
Sebagai seorang murid berusia 12 tahun, Krishh menegaskan tuntutannya kepada masyarakat antarabangsa.
“Bebaskan semua aktivis sekarang. Jangan hukum mereka yang datang untuk membantu. Gaza perlukan makanan, ubat-ubatan dan keamanan bukan penjara dan keganasan,” ujarnya.
Tambahnya, isu ini bukan hanya tentang Gaza tetapi tentang kemanusiaan sejagat.
“Kemanusiaan tiada agama, tiada bangsa, tiada sempadan. Setiap nyawa adalah berharga. Saya percaya walaupun suara saya kecil, ia boleh membawa perubahan besar,” katanya dengan penuh emosi.
Ucapan itu menggambarkan keprihatinan seorang anak Malaysia terhadap penderitaan di Gaza, sekali gus memperlihatkan bahawa semangat solidariti menyeberangi usia, bangsa dan sempadan.
Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi GSF telah ditahan rejim Israel selepas lebih 20 jam insiden pintasan berlaku.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby dalam sidang media pada jam 9 malam tadi berkata pengesahan rasmi diterima pada pukul 4.25 petang waktu Malaysia bahawa semua delegasi kini berada dalam tahanan. – MalaysiaGazette
















