Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan kebajikan penduduk yang menggunakan bot sebagai mod pengangkutan utama khususnya di Sabah, Sarawak dan sebahagian kawasan di Semenanjung  sentiasa diberi perhatian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa bot penumpang awam yang menggunakan petrol RON95 turut layak menerima subsidi sama ada di bawah program BUDI95 atau Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

“Objektif utama penyasaran subsidi petrol ini adalah untuk memastikan rakyat Malaysia terus mendapat manfaat.

“Ini asas paling penting, dan kerajaan mahu pastikan golongan seperti pengusaha bot penumpang awam tidak tercicir,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan My Gaya Month 2025 di Bukit Jalil hari ini.

Menurut Armizan, keputusan itu bukan sahaja membabitkan Sabah dan Sarawak malah turut merangkumi pengusaha bot penumpang di Semenanjung Malaysia yang menyediakan pengangkutan air kepada rakyat.

Beliau menjelaskan, KPDN bersama Kementerian Kewangan (MOF) serta agensi negeri seperti Lembaga Sungai-sungai Sarawak, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Semenanjung kini sedang mengumpul data pemilik bot berdaftar.

“Kita mahu setiap keputusan dibuat berdasarkan data driven decision. Subsidi ini mesti disasarkan sebab itu pengumpulan data pemilik dan pengusaha bot penumpang amat penting,” tambahnya.

Buat masa ini, kerajaan telah memutuskan tiga langkah utama termasuk, pengusaha bot penumpang awam layak mendapat manfaat subsidi petrol RON95.

Kedua, sebagai langkah interim, mereka dibenarkan membuat tuntutan bayaran balik tunai dengan syarat menyimpan resit pembelian rasmi.

Ketiga, Jawatankuasa Rayuan SKDS (Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi) yang sedia ada telah diaktifkan semula dengan peluasan skop meliputi SKPS untuk petrol, bagi meneliti kes-kes rayuan dan mekanisme terbaik.

“Walaupun buat masa ini pengusaha masih membeli petrol RON95 pada harga pasaran RM2.60 seliter, mereka boleh membuat tuntutan semula. Perbezaan antara harga pasaran dan harga subsidi itu akan dibayar balik,” ujarnya.

Mengulas mengenai kebimbangan berhubung kestabilan harga barang dan pengangkutan, Armizan berkata, kerajaan mengambil iktibar daripada pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sebelum ini.

“Ketika SKDS dilaksanakan, ada pihak bimbang inflasi akan melonjak sehingga melebihi empat peratus tetapi data menunjukkan inflasi keseluruhan berjaya diturunkan daripada 3.3 peratus (2022) kepada 2.5 peratus (2023), dan seterusnya 1.8 peratus selepas pelaksanaan subsidi diesel. Jadi ada keberkesanan,” tambahnya.

Beliau menegaskan, tujuan utama penyasaran subsidi bukan untuk mengurangkan atau memansuhkan bantuan sebaliknya memastikan tiada ketirisan dan manfaat sampai kepada kumpulan sasaran.

“Paling penting, jangan ada pihak yang tercicir. Itu sebab jawatankuasa rayuan diwujudkan. Insya-Allah, jika semua pihak mendapat perlindungan subsidi, harga barangan dan kos pengangkutan dapat kita kawal serta kekalkan stabil,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast