Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarahkan untuk mempertingkat pemantauan terhadap segala kandungan berkaitan konflik Gaza di ruang siber Malaysia.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan tegas dan segera akan dilaksanakan terhadap sebarang cubaan untuk menyebarkan propaganda Zionis atau naratif yang bersifat hasutan, serta menjejaskan keharmonian dan sensitiviti awam.

Selain itu, beliau turut menggesa semua stesen televisyen dan radio di seluruh negara untuk menyiarkan bacaan Qunut Nazilah dalam slot-slot siaran utama susulan tindakan kejam rejim Zionis Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa dengan menahan pasukan Global Sumud Flotilla (GSF).

“Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk merujuk maklumat yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri dan sumber-sumber rasmi, termasuk saluran rasmi Sumud Nusantara Command Centre yang dikendalikan oleh MAPIM, bagi mengelakkan penyebaran berita palsu atau tidak sahih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini, seramai 17 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas Zinonis di perairan Gaza pagi ini.

Daripada jumlah itu, seramai 12 rakyat Malaysia disahkan telah ditahan tentera Israel termasuk penyanyi, Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga; Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil yang berada di atas kapal Alma serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli yang menaiki kapal Sirius. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast