KUALA LUMPUR – Wanita Perikatan Nasional (PN) mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis Israel yang merampas dan menahan kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang dalam perjalanan membawa bantuan ke Gaza.
Ketua Penerangan Wanita PN, Nurul Syazwani Noh berkata, tindakan zalim itu bukan sahaja mencabuli undang-undang antarabangsa, malah memperlihatkan keangkuhan kuasa yang tidak menghormati prinsip kemanusiaan sejagat.
“Misi ini disertai lebih 500 aktivis dari lebih 40 negara, termasuk rakyat Malaysia yang antaranya terdiri daripada wanita-wanita hebat yang menjadi tulang belakang dalam gerakan kemanusiaan ini.
“Mereka bukan sahaja membawa bantuan fizikal, tetapi juga semangat juang dan kasih sayang seorang ibu kepada anak-anak Palestin yang sedang menderita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Israel jelas melanggar prinsip asas undang-undang antarabangsa termasuk San Remo Manual 1994 yang menjamin kebebasan pelayaran dan melarang sekatan terhadap bantuan kemanusiaan.
Tambahnya, keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Mei 2024 juga mewajibkan Israel memastikan akses tanpa halangan kepada misi kemanusiaan ke Gaza.
“Tindakan ini mencabar kedaulatan undang-undang dan menafikan hak asasi manusia yang paling asas, iaitu hak untuk hidup.
“Lebih membimbangkan, kekejaman ini turut membahayakan keselamatan aktivis Malaysia yang berada di atas kapal tersebut. Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia tidak boleh berdiam diri,” tegasnya.
Sehubungan itu, Wanita PN menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas dan segera dalam tiga perkara utama dengan mengeluarkan kenyataan rasmi mengecam tindakan Israel serta menuntut pembebasan segera semua aktivis termasuk rakyat Malaysia.
Nurul Syazwani berkata, kerajaan perlu menggerakkan sepenuhnya saluran diplomasi dan pengaruh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bagi memastikan misi flotilla dapat diteruskan sehingga bantuan sampai ke Gaza.
“Kita mendesak kuasa besar antarabangsa termasuk Presiden Amerika Syarikat agar menghentikan tindakan Israel serta menjamin keselamatan semua aktivis, terutama sukarelawan wanita Malaysia,” tambah beliau.
Katanya lagi, wanita PN turut mengingatkan kerajaan agar menilai semula kesesuaian menerima kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN akan datang sekiranya beliau terus berdiam diri terhadap kekejaman itu.
“Kami menyatakan bantahan tegas terhadap kehadiran beliau (Trump) ke Malaysia sekiranya beliau enggan menggunakan kedudukannya untuk menghentikan kekejaman terhadap misi kemanusiaan ini.
“Malaysia mesti menunjukkan kepada dunia bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana kuasa yang membiarkan kezaliman berleluasa,” kata.
Menurut Nurul Syazwani lagi, perjuangan ini bukan hanya tentang Palestin, tetapi menyentuh maruah kemanusiaan sejagat, hak asasi manusia serta kewajipan untuk mempertahankan kebenaran.
“Keberanian aktivis, termasuk wanita Malaysia di atas kapal flotilla membuktikan bahawa suara rakyat Malaysia tidak pernah gentar menghadapi kezaliman. Mereka adalah bukti bahawa wanita bukan sekadar penyokong, tetapi penggerak utama perubahan.
“Wanita Perikatan Nasional akan terus berdiri di barisan hadapan, membawa suara wanita dan rakyat Malaysia untuk membela mereka yang tertindas. Demi keamanan sejagat, kami tidak akan berdiam diri,” katanya. – MalaysiaGazette
















