Pengasas bersama, Datuk V Harikrishnan bersama pekerja Restoran Sri Ananda Bahwan.

KUALA LUMPUR – Bau kari pekat dari sebuah restoran mamak di tingkat bawah bangunan milik keluarganya di Butterworth, Pulau Pinang suatu ketika dahulu menjadi titik tolak kepada perjalanan hidup Datuk V Harikrishnan.

Di tingkat atas bangunan itu, beliau membesar bersama ibunya, Radhabay Iyasamy Naidoo, seorang ibu tunggal dari Taiping dan tujuh adik-beradik lain.

Kehidupan mereka sederhana namun setiap hari Harikrishnan dibuai aroma rempah dan masakan yang akhirnya menjadi inspirasi besar kepadanya.

Beliau pernah bekerja sambilan di restoran tersebut bermula sebagai pembasuh pinggan mangkuk sebelum bergelar pembuat teh tarik.

Daripada pengalaman kecil itulah lahir tekad untuk membuka restoran sendiri.

“Saya nampak bagaimana restoran itu menarik pelanggan setiap hari. Saya fikir, kenapa tidak kita buka restoran kita sendiri? Saya ajak abang saya yang pandai memasak untuk bersama-sama memulakan perniagaan ini.

“Dari situlah semuanya bermula,” kata Harikrishnan ketika di temui MalaysiaGazette di Jalan Macalister, George Town, Pulau Pinang baru-baru ini.

Sri Ananda Bahwan yang genap 34 tahun beroperasi terus teguh dengan hidangan daun pisang.

 Sri Ananda Bahwan bukanlah hasil seorang diri tetapi dibangunkan bersama abang beliau, V Selvaraj yang bukan sahaja tulang belakang sebaliknya pengasas bersama restoran berkenaan.

Harikrishnan menguruskan perniagaan manakala Selvaraj memastikan setiap hidangan mampu memikat selera pelanggan.

Peranan ibu mereka juga sangat besar, Radhabay menjadi nadi kekuatan keluarga menyokong penuh inisiatif anak-anaknya sambil memastikan setiap seorang bergilir-gilir membantu menguruskan restoran.

“Ibu kami adalah tulang belakang. Beliau selalu berpesan, pelanggan adalah keutamaan tanpa mereka, kita tidak ke mana-mana,” ujar Harikrishnan.

V. Selvaraj, bukan sahaja tulang belakang sebaliknya pengasas bersama Sri Ananda Bahwan

Dari Butterworth ke seluruh Malaysia

Bermula dengan sebuah premis kecil di Butterworth, perniagaan keluarga itu berkembang ke Sungai Petani, Kulim, Kuala Lumpur, Pulau Pinang (seberang pulau), dan Ipoh Utara.

Nama Sri Ananda Bahwan yang membawa maksud kebahagiaan dipilih dengan penuh simbolik menggambarkan hasratsetiap pelanggan pulang dengan hati senang.

Selepas lebih empat dekad, rangkaian restoran ini mempunyai 10 cawangan dengan lebih 300 pekerja.

Waktu puncak, meja-meja dipenuhi pelanggan pelbagai bangsa, menikmati nasi panas dihidang atas daun pisang lengkap dengan kari ikan, ayam varuval, sotong sambal, sayur dan papadom pengalaman autentik yang jarang berubah sejak dahulu.

“Keindahan restoran daun pisang ialah semua orang baik Melayu, Cina, India malah pelancong luar boleh duduk semeja menikmati hidangan yang sama. Itu identiti Malaysia,” katanya.

Pelanggan Sri Ananda Bahwan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

Menu ikonik inovasi tanpa henti

Antara tarikan utama ialah 3 in 1 seafood curry – gabungan sotong, ikan dan udang dengan rempah istimewa – tidak ketinggalan pelbagai menu tosai rangup dua kaki panjang, roti tisu setinggi hasta serta minuman ikonik seperti teh tarik berbuih pekat dan Kopi Madras.

Hidangan vegetarian juga kekal mendapat sambutan antaranya palak paneer, dal tadka dan pelbagai sayur bergoreng.

“Kami pastikan setiap hidangan dimasak segar setiap hari, tiada jalan pintas. Rempah yang digunakan sama seperti zaman ibu saya dulu,” jelas Harikrishnan.

Selain masakan India Selatan, menu turut diperluas ke citarasa India Utara dan makanan tempatan seperti nasi lemak dan mee goreng malah perniagaan ini merangkumi katering, peruncitan, serta butik hasil ilham mendiang isterinya, K Puvaneswary yang kini diteruskan oleh anak lelaki mereka.

Cabaran yang menguji

Walaupun jenama Sri Ananda Bahwan kini gah, cabarannya tidak kecil sebaliknya persaingan restoran India yang semakin sengit, kenaikan harga bahan mentah dan isu tenaga kerja sering menguji kekuatan mereka.

“Cabaran paling besar ialah mengekalkan kualiti. Kos naik, pekerja silih berganti tetapi pelanggan tetap mahu rasa yang sama. Itulah amanah yang perlu kami jaga,” katanya.

Menurut beliau, rahsia bertahan adalah inovasi tanpa mengorbankan tradisi selain memperkenalkan menu baharu mengikut selera semasa, sambil mengekalkan keaslian hidangan daun pisang yang menjadi jiwa restoran.

Ulang tahun ke-34

Apa yang bermula daripada cita-cita seorang remaja yang terhidu bau kari setiap hari kini berkembang menjadi legasi keluarga.

Lebih istimewa, hari ini, 3 Oktober 2025 genap 34 tahun sejak Sri Ananda Bahwan ditubuhkan pada 3 Oktober 1991 – dari sebuah premis kecil di Butterworth – ia kini berdiri sebagai salah satu jenama restoran India paling dikenali di Malaysia, kekal dengan citarasa asli yang menyatukan pelanggan pelbagai bangsa.

Gambar awal penubuhan Sri Ananda Bahwan sekitar tahun 1991.

Bagi Harikrishnan, ulang tahun ke-34 ini bukan sekadar angka sebaliknya simbol pengorbanan seorang ibu, semangat kerjasama adik-beradik, kasih sayang isteri yang pernah menjadi sumber ilham, serta kepercayaan ribuan pelanggan yang tidak pernah putus menyokong.

“Restoran ini bukan hanya milik keluarga saya tetapi sebahagian daripada masyarakat. Setiap pelanggan yang masuk dan makan di sini adalah sebahagian daripada kisah 34 tahun kami,” katanya.

Sri Ananda Bhawan hari ini berdiri teguh bukan sahaja sebagai restoran daun pisang tetapi juga sebuah legasi kisah tentang impian seorang anak muda, ketabahan seorang ibu, kecekalan sebuah keluarga dan kesetiaan pelanggan yang menjadikannya sebahagian daripada budaya makan Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast