KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan semua lapisan masyarakat akan celik kewangan dan ia bukannya dikuasai golongan elit sahaja, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, keperluan itu penting bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi negara dirasai semua pihak dan tidak mahu hanya kelompok kecil yang mendapat manfaat.
Menurut beliau, peranan institusi kewangan kini menjadi penting untuk menjelajah hingga ke ceruk kampung bagi menyampaikan ilmu serta kefahaman kepada rakyat.
“Kadar pertumbuhan ekonomi negara segar dan kukuh dari sisi kewangan seluruhnya itu lebih meyakinkan.
“Kita tidak mahu ini hanya dimanfaatkan oleh kelompok yang kecil, golongan elit dari sudut kuasa atau kewangan.
“Negara boleh membangun tetapi tanpa kefahaman yang mendalam akan timbul masalah di mana kefahaman sejarah, budaya dan prinsip penyatuan rakyat tidak boleh dangkal kerana kedangkalan inilah yang mendorong manusia bertelagah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia 2026–2030 dan Bulan Literasi Kewangan 2025 di Sasana Kijang di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Perdana Menteri turut melancarkan Program Jelajah ‘Skuad Celik Kewangan’ yang menampilkan kenderaan perkhidmatan bergerak dikendalikan oleh ahli-ahli Jaringan Pendidikan Kewangan.
Mengulas lanjut, Anwar turut mengingatkan agar pemikiran kritis diasah dalam literasi kewangan bagi mengelak masyarakat terdedah kepada risiko kerugian serta manipulasi.
Justeru tegas beliau, pendidikan kewangan perlu bermula daripada peringkat sekolah hingga ke masyarakat umum dengan penglibatan aktif institusi kewangan.
“Bank yang ada cawangan di seluruh negara, patut ada juga usaha untuk dekati sekolah berdekatan, masjid berdekatan, masyarakat berdekatan untuk memberikan sedikit kefahaman dan pendidikan.
“Celik kewangan merupakan kunci untuk memperkuat daya tahan rakyat menghadapi cabaran ekonomi dan menghindari penipuan,” katanya. – MalaysiaGazette
















