KUALA LUMPUR – Empat warga Itali yang menyertai konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang diculik tentera Israel telah diusir pulang manakala prosedur sedang dijalan dan dimuktamadkan bagi peserta-peserta lain.
Kementerian Luar Israel berkata, ia bertekad untuk menamatkan prosedur tersebut secepat mungkin.
Sambil menuduh misi GSF sebagai sandiwara, Kementerian Luar Israel turut menggelarkan aktivis dan sukarelawan yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza itu sebagai ahli provokasi.
“Dilampirkan gambar Greta Thunberg dan ahli lain yang terlibat dalam provokasi ini ketika tiba di Israel. Kesemuanya berada dalam keadaan selamat dan sihat.
“Seperti yang telah dinyatakan berulang kali oleh Israel, Itali, Greece, dan Patriarkat Latin Jerusalem, sebarang bantuan yang mungkin dibawa kapal-kapal ini — walaupun sedikit — boleh disalurkan ke Gaza secara aman.
“Ini tidak lain hanyalah satu provokasi,” katanya.
Kira-kira 500 aktivis dari 44 buah negara yang menyertai GSF telah diculik Israel semalam dan kapal terakhir yang berjaya melepasi kepungan tentera Israel semalam berjaya dipintas kira-kira 3.30 petang tadi.
Menurut siaran langsung kamera litar tertutup (CCTV) Pusat Komando Sumud Nusantara (SNCC), sekumpulan anggota tentera Israel bersenjata dilihat menaiki kapal bernama Marinette selepas memasuki Zon Merah.
GSF turut disertai 23 delegasi Malaysia. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL