KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan mengesan satu video berdurasi 51 saat yang tular di platform WhatsApp memaparkan kejadian seorang lelaki dipukul oleh dua individu di tempat awam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, video berkenaan semalam kira-kira pukul 4.30 petang.
“Siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku di kawasan awam Kompleks Hentian Kajang pada 10 September 2025. Mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan di bahagian muka dan mulut.
“Dia juga telah ditahan di wad psikiatri selama 20 hari kerana merupakan pesakit Bipolar Disorder,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Naazron, berdasarkan maklumat awal daripada saksi, kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang dikatakan mengganggu wanita di dalam surau dan di sebuah kedai makan di kawasan tersebut sebelum insiden berlaku.
Bertindak atas maklumat yang diterima, polis berjaya menahan lima lelaki iaitu empat warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia antara 20 hingga 37 tahun di sekitar kawasan Hentian Kajang lebih kurang pukul 7.35 malam bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 323, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi Seksyen 506, pesalah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, katanya.
Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nur Fatihah Awang di talian 011-25703695. – MalaysiaGazette















