Irwan Shahputra Ibrahim

KUANTAN – Mahu cepat tapi bertahun tidak datang ambil kasut yang sudah siap dibaiki.

Itu antara dilema yang dihadapi seorang tukang kasut, Irwan Saputra Ibrahim, 32, yang sudah berpengalaman selama enam tahun dalam pekerjaan itu.

Ujarnya, menganggung kerugian itu sudah tentu termasuk kos membanting tulang di bawah cuaca panas di tengah-tengah bandar raya Kuantan.

”Kadang bila tuan kasut tidak datang mengambil kasut sehingga kasut reput barulah saya buang. Kalau kita cakap memang kelakar tapi itulah realitinya.

“Janji manis dengan pelanggan ibarat mengharap cinta palsu kerana tidak muncul-muncul akhirnya. Jadi, kalau untuk perkhidmatan tapak, saya ambil bayaran harga tapak kasut dahulu sebagai cagaran kerana risau mereka ’hilang’,”  katanya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Irwan Shahputra turut berkongsi pengalaman berkecimpung pekerjaan itu yang memerlukan untuknya membuang rasa malunya jauh-jauh.

Mengakui ramai rakan seusia memilih kerja yang lebih selesa berbanding tukang kasut namun tiada pilihan ketika berhijrah pulang ke Kuantan ketika musim pandemik Covid-19 lalu.

”Sebelum ini saya bekerja sebagai operator pengendali mesin, jadi tiada pilihan selain cuba pekerjaan ini selepas selalu menemani ayah,” katanya.

Bagi seorang lagi tukang kasut, Nursafisa Ibnu Salleh, 28, pula mengakui memilih pekerjaan itu selepas merasakan perlu mencari pengalaman industri memandangankan jarang golongan wanita memilih pekerjaan berkenaan.

Nursafisa Ibnu Salleh antara yang termuda mencari rezeki sebagai tukang baiki kasut di Jalan Mahkota, Kuantan, Pahang.

Nursafisa  sebelum ini pernah mengutip tin dan botol, berkhidmat sebagai pengawal keselamatan, pembantu kedai makan menceburi bidang perkhidmatan membaiki kasut sejak lima bulan lalu.

Sementara itu, bagi Sharizal Shahrani, 60, yang berjinak menjahit kasut sejak 1989 bersyukur dapat membesarkan keluarga dengan rezeki pekerjaan itu.

Beliau mengakui mampu mencecah pendapatan kasar RM100 sehari namun kerja tersebut memerlukan kemahiran dan kudrat untuk menjahit kasut.

“Selagi ada kudrat dan mata nampak lagi, boleh buat kerja baik kasut lagi. Dulu saya seorang di sini kini makin ramai yang membaiki kasut.

“Tak ramai orang muda suka kerana mereka memilih pekerjaan yang selesa dan tidak sanggup berhujan panas di bawah payung ini,” katanya.

Shahrizal Shahrani

Tambahnya, isu yang sering dihadap apabila tuan kasut tidak datang menuntut kasut mereka yandi terpaksa juga menyewa stor tambahan dengan sewaan RM120.

Shahrizal turut berkongsi pengalaman dikejarkan ke hospital bersama jarum dan kasut akibat luka kecederaan serius.

“Saya bernah tiga kali tercucuk jarum dan masuk ke hospital, luka tertusuk jarum,” katanya.

Bagi S Ganisuaren, 58, pula beliau mampu hidup dengan pekerjaan yang sama meskipun dengan hanya bermula dengan cuba-cuba dan akhirnya sudah biasa dengan jarum tajam, benang tebal dan bau gam.

S.Ganisuaren

Ujarnya harga jahitan semula sekitar RM15 hingga RM18 sepasang manakala gantian tapak kasut pula antara RM65 hingga RM75.

“Kalau hari baik, saya boleh dapat RM20 hingga RM30. Ada juga hari RM10 pun susah nak capai tapi saya tetap bersyukur,” katanya

Mengimbau cabaran yang dihadapinya, Ganisuaren memberitahu, beliau selalu berdepan dengan perangai pelanggan tidak datang mengambil kasut selepas siap dibaiki.

“Saya simpan kasut-kasut itu elok-elok, mana tahu satu hari mereka datang ambil. Mungkin mereka terlupa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast