Peserta Himpunan Sumud Flotilla mengambil kesempatan menaikkan sepanduk menolak kehadiran Presiden Donald Trump ke negara ini. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Hubungan diplomatik di antara Malaysia-Amerika Syarikat boleh terganggu dan seterusnya mengundang risiko ekonomi yang serius melibatkan beberapa sektor antaranya eksport sekiranya undangan terhadap Presiden Donald Trump dibatalkan.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Mohd Azamanizam Baharon berkata, mereka bimbang tindakan tersebut boleh menyebabkan penutupan kilang, pemberhentian pekerja beramai-ramai dan kesan domino terhadap ekosistem Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).

Jelas beiau, Malaysia merupakan antara rakan dagangan terbesar Amerika Syarikat.

Hubungan perdagangan yang kukuh itu telah menjadikan Malaysia sebagai hab utama produk semikonduktor, elektrik & elektronik, getah, kelapa sawit dan pelbagai komoditi lain.

“Ahli PERDASAMA yang terlibat juga dalam perdagangan secara langsung dan tidak langsung dengan Amerika Syarikat termasuk peranti perubatan, sarung tangan getah, minyak sawit, teknologi hijau dan produk halal pasti turut terkesan.

“Bagi PERDASAMA, melindungi ekonomi adalah asas kepada melindungi rakyat dan kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut statistik perdagangan antarabangsa terkini, eksport Malaysia ke Amerika Syarikat pada tahun 2024 mencapai sekitar AS$ 43.43 bilion – menjadikan negara tersebut salah satu rakan dagangan utama Malaysia.

Dalam Januari 2025, perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat menyumbang kira-kira 11.8% daripada keseluruhan perdagangan negara dengan pertumbuhan tahunan 28.8%.

Tariff timbal balas Amerika Syarikat terhadap barangan Malaysia sebanyak 19 peratus yang akan dilaksanakan mulai Ogos 2025 menuntut agar Malaysia menjaga hubungan diplomatik dan perdagangan supaya tidak kehilangan akses kritikal ke pasaran Amerika Syarikat.

Tambahnya, PERDASAMA juga percaya, kehadiran Presiden Trump ke Malaysia bukan sahaja membuka peluang ekonomi dan perdagangan yang lebih besar, malah memberi ruang diplomatik strategik kepada Malaysia untuk menegaskan kepentingan Palestin di pentas dunia.

“Malaysia boleh menyampaikan suara rakyat Malaysia, suara ASEAN, dan suara dunia Islam agar Amerika Syarikat, menggunakan pengaruhnya untuk menekan Israel menghentikan keganasan dan pembunuhan rakyat Palestin, mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, menyokong penyelesaian “Two-State Solution” yang adil dan menyeluruh.

“Sejarah membuktikan hanya Amerika Syarikat yang memiliki leverage politik dan ekonomi terhadap Israel. Oleh itu, kehadiran Trump merupakan peluang yang tidak boleh dilepaskan,” ujarnya lagi.

Katanya, sebagai suara kolektif usahawan Bumiputera, PERDASAMA menyokong usaha kerajaan memastikan ekonomi negara terus dilindungi, peluang pekerjaan rakyat terjamin, dan dalam masa sama, Malaysia terus istiqamah dalam perjuangan membela rakyat Palestin.

Trump dijangka hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan diadakan di Kuala Lumpur, bulan depan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast