Gambar hiasan.

Isu subsidi minyak RON95 di Malaysia bukanlah perkara baharu, bahkan ia sering menjadi topik hangat kerana berkait rapat dengan kos sara hidup rakyat serta beban kewangan negara.

Pada tahun 2022 sahaja, kerajaan membelanjakan sekitar RM52 bilion untuk subsidi bahan api, iaitu hampir 74 peratus daripada jumlah keseluruhan subsidi negara. Walaupun angka ini menurun kepada sekitar RM20 bilion setahun bagi 2023 dan 2024, jumlah tersebut masih dianggap tinggi.

Bagi mengurangkan ketirisan serta memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan sasaran, kerajaan memperkenalkan sistem subsidi bersasar. Melalui pendekatan ini, kerajaan dijangka masih menanggung RM10–15 bilion setahun, namun dengan penjimatan sebanyak RM2.5–4 bilion berbanding subsidi pukal.

Lebih 16 juta rakyat Malaysia dijangka layak menerima subsidi bersasar ini dengan kadar RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran sekitar RM2.60 seliter. Setiap individu diberikan kuota 300 liter sebulan, yang menurut kerajaan memadai untuk lebih 99 peratus pengguna persendirian.

Walau bagaimanapun, timbul kebimbangan bahawa sebarang kelewatan atau kerosakan teknikal ketika pengimbasan MyKad di stesen minyak boleh menimbulkan rungutan, khususnya di lokasi yang sibuk. Oleh itu, pengalaman pengguna mesti direka bentuk agar mudah, cepat, dan mesra pelanggan, disokong oleh sistem teknikal yang kukuh serta responsif.

Selain aspek teknikal, komunikasi antara kerajaan dan rakyat turut menjadi faktor penentu kejayaan dasar ini. Penjelasan mengenai subsidi bersasar perlu dilakukan secara telus, konsisten, dan berulang. Hal ini penting bagi mengelakkan kekeliruan seperti yang berlaku pada awal pengumuman, apabila timbul salah faham bahawa rakyat hanya dibenarkan mengisi minyak sekali sehari.

Hakikatnya, tiada had sedemikian kerana had sebenar adalah berdasarkan kuota bulanan. Kekeliruan kecil sebegini boleh menjejaskan keyakinan rakyat sekiranya tidak ditangani dengan komunikasi yang jelas dan menyeluruh. Justeru, kerajaan perlu memanfaatkan pelbagai saluran termasuk media arus perdana, media sosial, aplikasi mudah alih, risalah, serta sesi libat urus bersama masyarakat.

Di samping itu, mekanisme pemantauan dan penilaian dasar juga tidak boleh dipandang ringan. Risiko ketirisan dan penyalahgunaan sentiasa wujud, misalnya jika ada pihak menjual semula kuota subsidi mereka atau golongan berpendapatan tinggi yang memiliki banyak kenderaan menikmati manfaat lebih besar berbanding rakyat berpendapatan rendah. Untuk itu, pengumpulan data penggunaan serta maklum balas rakyat perlu dilaksanakan secara berterusan agar kelemahan dapat dikenal pasti dan ditambah baik dengan segera.

Bagi memastikan subsidi benar-benar sampai kepada golongan sasaran tanpa menyusahkan pengguna, beberapa penyelesaian alternatif boleh dipertimbangkan. Antaranya ialah penggunaan kaedah pelbagai pengesahan (multi-verification) selain MyKad, integrasi dengan e-wallet atau akaun bank, kad subsidi khas untuk B40/M40 rendah, serta kuota liter automatik yang ditolak terus ketika pengisian minyak.

Golongan tertentu seperti pemandu e-hailing, petani, nelayan, dan pekerja logistik juga wajar dipertimbangkan untuk kuota tambahan. Tidak kurang pentingnya ialah penyediaan stesen minyak pintar dengan kaunter khas bagi warga emas dan OKU, selain talian hotline 24 jam untuk aduan. Dalam jangka panjang pula, kerajaan boleh menimbang kombinasi subsidi tunai terus ke akaun rakyat dengan harga RON95 diapungkan mengikut pasaran.

Kesimpulannya, pelaksanaan subsidi minyak RON95 bersasar bukan hanya soal teknikal atau kewangan semata-mata, tetapi lebih besar daripada itu – soal keyakinan rakyat terhadap dasar kerajaan.

Sekiranya prosesnya mudah, komunikasinya jelas, dan pemantauannya telus, sistem ini berpotensi besar menjadi instrumen penting dalam membantu rakyat mengharungi tekanan kos sara hidup, tanpa terus membebankan fiskal negara. Dengan tambahan penyelesaian alternatif yang lebih mesra pengguna, subsidi bersasar RON95 boleh menjadi lebih adil, cekap, dan mampan dalam jangka panjang.

3R DAP Ir. Khairil Nizam Khirudin paranoia Rafizi peruntukan pembangkang
Khairil Nizam Khirudin

Oleh Ir Khairil Nizam Khirudin                                      Penulis ialah Ahli Parlimen Jerantut merangkap Ahli Jawatankuasa Pas Pusat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast