KUALA LUMPUR – Imam dan Pengerusi Masjid Al Busyra di Merbok, Kedah, Ustaz Firdaus Firabib atau nama sebenarnya Mohd Firdaus Mat Akhir mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa hari ini.
Pengumuman itu dibuat beliau dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook dan TikTok miliknya selepas selesai menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan hari ini.
Firdaus, 37, yang memegang jawatan itu sejak tujuh tahun lalu mengakui bukan mudah membuat keputusan itu namun berpendapat sudah tiba masanya memberi laluan kepada pelapis baharu.
“Selama tujuh tahun saya cuba mengorbankan perasaan, masa dan wang ringgit untuk pembangunan Masjid Al Busyra.
“Dengan ini saya umumkan peletakan jawatan sebagai imam dan pengerusi masjid berkuat kuasa hari ini,” katanya.
Firdaus turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, ahli jawatankuasa serta kariah masjid yang sentiasa memberi sokongan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Terima kasih kepada semua ahli kariah yang memberi kepercayaan kepada saya walaupun saya bukan berasal dari sini.
“Saya harap pelapis baharu dapat meneruskan usaha yang telah dibangunkan bersama,” katanya.
Firdaus turut memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan sepanjang memimpin masjid itu.
“Saya minta maaf jika ada ahli jawatankuasa, pegawai atau jemaah yang pernah terasa hati dengan saya. Halalkan segala yang berlaku tanpa saya sedar,” katanya.
Selain tugas sebagai imam dan pengerusi, beliau juga dikenali sebagai Pengarah Urusan Firabib Group Sdn Bhd dan aktif menggunakan platform TikTok untuk tujuan dakwah serta mengumpul dana.
Firdaus berkata, sejak mula berkecimpung dalam dunia media sosial, beliau berjanji untuk menyerahkan semua hadiah maya (gift) yang diterimanya kepada masjid dan sehingga kini lebih RM42,000 sudah disalurkan.
“Saya tidak pernah mengambil satu sen pun daripada gift TikTok, semuanya saya infakkan kembali kepada masjid, selepas ini pun saya akan teruskan infak kepada masjid,” jelasnya.
Dalam pada itu, Firdaus memaklumkan kedai nasi Arab Al-Busyra Bistro yang beroperasi dalam kawasan masjid juga akan ditamatkan operasi pada 12 Oktober ini dan diserahkan semula kepada pihak masjid untuk diuruskan.
Katanya, walaupun tidak lagi memegang jawatan rasmi, beliau tetap akan membantu sehingga beberapa perancangan yang sedang dijalankan dapat diselesaikan sepenuhnya. – MalaysiaGazette
















