KUALA LUMPUR – Keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) untuk keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) dilihat tidak menguntungkan kedua-dua parti tersebut.
Pemerhati politik, Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, sejarah sebelum ini pernah membuktikan nama-nama besar dalam politik Sabah akhirnya kecundang pada PRN selepas memilih membawa partinya bergerak solo.
Bagaimanapun beliau yang juga Pensyarah Kanan Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, STAR dan SAPP kini mungkin mempunyai sedikit kelebihan dari segi jumlah kerusi yang akan ditandingi pada PRN-17 Sabah apabila tidak lagi terikat dengan formula agihan kerusi.
“Bagi STAR dan SAPP, keputusan bergerak solo mungkin tepat sekiranya parti itu berhasrat untuk bertanding lebih banyak kerusi, selain memenuhi tuntutan ahli-ahli dan penyokong yang mahu mereka bergerak solo.
“Tetapi berdasarkan keputusan pilihan raya terdahulu, ia mungkin bukan keputusan menguntungkan kerana keyakinan rakyat boleh terjejas terhadap parti yang memilih untuk bersendirian,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan STAR dan SAPP memutuskan untuk keluar daripada GRS dan akan bertanding secara solo dalam PRN-17 Sabah.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan turut disertai semua Presiden parti komponen GRS yang berlangsung di Sri Gaya, Kota Kinabalu pada Rabu lalu.
Keputusan STAR dan SAPP itu dikatakan dibuat kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dimuktamadkan antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).
Sementara itu, Kuok Tiung berkata, keputusan STAR dan SAPP meninggalkan GRS turut memberi kesan terutama dari segi psikologi rakyat yang melihat kerapuhan dalam kerjasama gabungan politik berkenaan.
Dalam masa sama, jelasnya, GRS kini juga akan kehilangan undi daripada penyokong STAR dan SAPP yang mungkin diperlukan dalam memastikan kesinambungan pemerintahan gabungan politik itu selepas PRN-17 kelak.
Bagaimanapun, dari sisi lain, GRS kini juga dapat memusatkan dan memberi lebih tumpuan kepada pengukuhan gabungan parti tersebut terutama dari segi agihan kerusi yang lebih adil dan seimbang susulan keputusan STAR dan SAPP meninggalkan gabungan tersebut.
“Kalangan parti-parti komponen lain dalam GRS kini pastinya lebih bersemangat kerana mereka sudah pasti akan mendapat lebih banyak kerusi DUN pada PRN-17.
“Sebagai contoh, Parti Bersatu Sabah (PBS) misalnya mungkin boleh lebih menonjol di dalam GRS selepas ini apatah lagi PBS juga mempunyai kelebihan dari segi sejarah dan akar tradisi perjuangan rakyat Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette
















