Ahmad Zahid ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Skuad YPM Peringkat Begeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Tindakan menghidangkan minuman keras pada majlis makan malam anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) adalah tidak wajar serta bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya perbuatan tersebut apatahlagi merupakan program kerajaan.

Jelas Ahmad Zahid, walaupun kerajaan menghormati agama dan budaya masyarakat berbilang kaum, penganjuran acara rasmi kerajaan perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam sebagai agama Persekutuan.

“Tentunya kita harus menolak dan kita mesti tidak bersetuju dengan program berkenaan. Malaysia adalah negara Islam, biarpun kita menghormati agama, budaya dan kelaziman lain-lain agama. Tetapi ini adalah merupakan acara kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Majlis Yayasan Mara (YPM) Peringkat Negeri Johor 2025 di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, perkara itu juga akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri bagi menyatakan pendirian UMNO terhadap cadangan berkenaan.

“Sebagai Presiden UMNO, kita menolak 100 peratus cadangan itu. Acara seperti ini tidak pernah diadakan dalam mana-mana program rasmi kerajaan sebelum ini dan ia perlu ditolak,” tegasnya.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan, Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua hari setengah, yang berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.

Jelasnya, acara makan malam yang dijadikan isu oleh ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebenarnya inisiatif pihak industri dan sektor swasta.

Kata beliau, memandangkan Tourism Malaysia buat julung kalinya menganjurkan acara global sedemikian, pihak industri dan sektor swasta teruja sehingga berhasrat untuk menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast