KUALA LUMPUR – Isu penahanan delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) oleh tentera Israel, termasuk aktivis dan sukarelawan dari Malaysia, telah mencetuskan gelombang emosi dan solidariti rakyat yang semakin meluas di negara ini.
Ketika tinjauan MalaysiaGazette di sekitar ibu kota hari ini, rata-rata rakyat menyuarakan rasa sedih, simpati dan kebanggaan terhadap keberanian para sukarelawan selain memuji tindakan pantas kerajaan dalam menangani situasi itu.
Saya sampai menangis tengok mereka ditahan
Johan Md Salleh menyifatkan tindakan Israel menahan misi kemanusiaan itu sebagai biadab dan tidak berperikemanusiaan.
Katanya, dirinya yang mengikuti perkembangan GSF setiap malam mengakui dirinya tidak mampu menahan sebak apabila melihat aktivis kemanusiaan itu ditahan secara langsung di kaca televisyen.

“Tindakan Israel tu amat biadab. Mereka tak bagi peluang langsung kepada sesiapa yang nak membantu rakyat Palestin. Bagi mereka, mereka paling berkuasa di sana. Saya sendiri menangis bila tengok apa yang berlaku,” katanya ketika tinjauan MalaysiaGazette.
Menurut Johan, penahanan itu bukan sahaja menggugat perasaan rakyat Malaysia, tetapi turut menyedarkan masyarakat tentang betapa berat penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin selama ini.
“Saya terfikir, apa mereka makan dalam tahanan, macam mana nasib mereka. Tapi dari satu sudut, saya nampak sekarang rakyat kita makin sedar, makin faham.
“Dulu orang ambil ringan, tapi sekarang ramai yang buka mata. Anak saya sendiri pun menangis bila tengok berita,” ujarnya sebak.
Beliau menyeru supaya rakyat Malaysia terus bersatu dalam memperjuangkan hak kemanusiaan rakyat Palestin, bukan sekadar melalui kata-kata tetapi melalui sokongan moral, doa dan tindakan berterusan.
“Kita ni jangan sekadar mengata. Mereka sanggup menggadaikan kasih sayang, masa dan wang ringgit demi bantu orang lain. Itu pengorbanan sebenar. Kalau tak berani ke depan pun, cukuplah kita bersatu dan menyokong perjuangan mereka,” ujarnya.
Johan turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tindakan diplomatik yang pantas dalam membebaskan aktivis yang ditahan.
Sebagai ibu, saya tak boleh bayang anak-anak itu lapar
Bagi Junaidah Md Ali setiap kali nama Palestin disebut, air matanya pasti bergenang.
Sebagai seorang ibu, katanya, sukar untuk membayangkan keadaan kanak-kanak yang hidup dalam ketakutan dan kebuluran setiap hari.

“Saya seorang ibu, saya tak boleh bayang macam mana anak-anak itu makan, macam mana mereka tidur dalam perang. Bila fikir pasal tu, memang tak tertahan,” katanya sambil mengesat air mata.
Beliau menegaskan, penahanan terhadap misi GSF amat menyentuh hatinya kerana bantuan yang dibawa hanyalah bekalan asas untuk kegunaan keluarga dan anak kecil di Gaza.
“Mereka bukan pergi berperang pun. Mereka cuma bawa makanan, ubat-ubatan dan pakaian untuk budak-budak. Tapi tetap ditahan. Itu yang buat saya rasa sangat terkesan,” ujarnya.
Menurut Junaidah, insiden itu memberi kesedaran lebih luas kepada rakyat Malaysia bukan sahaja dalam kalangan Muslim, tetapi juga masyarakat majmuk yang semakin peka terhadap isu kemanusiaan sejagat.
“Sekarang kita boleh nampak perubahan. Dulu orang tak ambil tahu, tapi sekarang di pejabat pun semua bercakap tentang Palestin. Tak kira bangsa atau agama, semua orang rasa simpati. Itu tanda kita semakin matang sebagai manusia,” katanya.
Junaidah turut berpendapat, sokongan moral dan solidariti rakyat memainkan peranan penting walaupun tidak semua mampu ke medan sebenar.
“Kalau tak boleh bantu dengan tenaga atau wang, bantu dengan doa. Kalau tak mampu berkata-kata, diam pun tak apa asalkan hati kita tetap menyokong perjuangan tu. Yang penting jangan hina atau persoalkan mereka yang berkorban.
“Selagi ada nyawa, selagi ada hati yang masih hidup, kita akan terus bersuara untuk Palestin,” ujar Junaidah dengan suara bergetar. Isu ini bukan tentang agama, tapi kemanusiaan,” ujarnya.
Isu ini bukan tentang agama tetapi kemanusian
Sementara itu, Arif Isyraf Ahmad Rezal menegaskan bahawa isu Palestin bukan semata-mata isu agama, tetapi menyentuh nilai kemanusiaan sejagat.
“Bukan sahaja Muslim, Melayu, India, Cina atau sesiapa sahaja. Ini bukan mengenai Islam.
“Rakyat Malaysia menunjukkan solidariti melalui pelbagai cara termasuk boikot, himpunan aman dan kempen dalam talian bagi menyuarakan bantahan terhadap kekejaman Israel.
“Mereka hanya menghantar makanan, air dan pakaian semuanya secara aman. Kami tak okey dengan apa yang Israel lakukan dan kita suarakan bantahan secara damai,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa semakin ramai rakyat muda kini melihat isu Palestin sebagai perjuangan moral global, bukan semata-mata konflik agama.
“Ini tentang nilai kemanusiaan. Bila ada ketidakadilan, kita kena bersuara. Tak kira latar belakang siapa pun kita,” katanya.
Palestin sedang derita, ini tanggungjawab kita semua
Seorang lagi ketika dihubungi, Ramakrishnan Nair melahirkan rasa sedih dan simpati mendalam terhadap penderitaan rakyat Palestin walaupun beliau berbangsa India dan beragama Hindu.
“Saya rasa sayu setiap kali tengok berita tentang Gaza. Walaupun sibuk dengan kerja dan urusan perniagaan yang memerlukan saya ke luar negara, saya tetap pantau apa yang berlaku di sana,” katanya.

Beliau berkata, isu Palestin tidak seharusnya dilihat dari sudut agama semata-mata, tetapi sebagai tanggungjawab kemanusiaan sejagat yang menuntut perhatian semua bangsa dan kepercayaan.
“Saya juga bercakap dengan rakan-rakan, bagi kesedaran tentang pentingnya solidariti terhadap rakyat Palestin. Anak lelaki saya pun aktif mengikuti perkembangan ini dan merayu supaya semua tahanan GSF dilepaskan,” ujarnya.
Menurutnya, dunia perlu bangkit dan bersuara menentang kekejaman tanpa mengira latar belakang.
“Ini isu kemanusiaan. Palestin sedang derita, dan kita sebagai manusia perlu peka. Kita kena terus bersuara sampai Palestin itu benar-benar bebas dan merdeka,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















