Ahmad Yahaya.

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menyelar tindakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang didakwa menyediakan hidangan minuman beralkohol dalam sebuah majlis rasmi kerajaan baru-baru ini.

Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya mendakwa, program Global Travel Meet 2025 anjuran MOTAC yang berlangsung beberapa hari lalu hingga menyajikan minuman keras kepada tetamu, sekaligus mencetuskan persoalan mengenai hala tuju promosi pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“DUPP ingin mengingatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya bahawa hidangan minuman beralkohol seperti itu tidak patut ada dalam mana-mana acara rasmi kerana ia bertentangan dengan budaya ketimuran yang dipegang oleh Malaysia.

“Bahkan, ia juga bukan sesuatu yang perlu dipromosi mewakili budaya rakyat Malaysia,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada minuman keras kini turut menjadi sebahagian daripada tarikan promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 sebagaimana yang dirancang pihak kementerian.

Dalam pada itu, DUPP turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan MOTAC yang menjalinkan kerjasama secara terbuka dengan syarikat Starbucks Malaysia, syarikat yang kini sedang menjadi tumpuan kempen boikot oleh masyarakat dunia, khususnya umat Islam.

“Ketika rakyat Malaysia memfokuskan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin dan inisiatif Global Sumud Flotilla, tiba-tiba kementerian di Malaysia secara terbuka mendukung kembali syarikat yang sedang diboikot oleh rakyat dalam negara ini.

“Adakah ini satu usaha membela taikun besar yang mengalami kemerosotan perniagaan disebabkan boikot rakyat Malaysia terhadap Starbucks khasnya, dan rejim Zionis amnya?” soalnya.

Tambah beliau, tindakan sebegini menimbulkan persoalan besar terhadap pendirian sebenar Kerajaan Madani dalam isu yang melibatkan umat Islam.

“Satu sisi mereka kelihatan lantang bersama-sama rakyat dalam isu Palestin, satu sisi lain mereka turut mendukung produk yang telah membelasah umat Islam di sana tanpa henti.

“Di mana mereka letak maruah pejuang umat Islam di Malaysia dalam isu Palestin?” katanya lagi.

Ahmad menggesa pihak kerajaan memberi penjelasan terhadap tindakan-tindakan yang dilihat mencemari imej Malaysia sebagai negara yang berpegang kepada nilai dan budaya timur serta memperjuangkan hak umat Islam sejagat.

Semalam, media melaporkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengangap dakwaan minuman beralkohol dalam sebuah majlis makan malam yang dianjurkan oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia menyebabkan tetamu Muslim meninggalkan majlis lebih awal sebagai tidak berasas.

Katanya, dakwaan itu amat mengelirukan sambil menegaskan, Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua hari setengah yang berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.

Tambahnya, majlis makan malam yang dijadikan isu oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebenarnya adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta.  – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast