Inspektor Muhamad Helmi Hakim Muhamad Raus, 30, yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Foto Facebook Polis Perak

IPOH – Seorang pegawai kanan polis maut manakala seorang remaja lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kilometer 287.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini hari ini.

Mangsa, Inspektor Muhamad Helmi Hakim Muhamad Raus, 30, yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Pusat Pemantauan Trafik (TMC) PLUS sekitar jam 9.40 pagi.

“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dari arah selatan menuju ke utara telah dilanggar dari belakang oleh motosikal berkuasa tinggi jenis yang ditunggang mangsa.

“Pelanggaran itu mengakibatkan motosikal mangsa hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan sebelum disahkan meninggal dunia oleh paramedik di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal Honda Wave hanya mengalami kecederaan ringan,“ katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast