PERMATANG PAUH – Kementerian Pendidikan (KPM) terus memperkukuh agenda anti buli bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif untuk seluruh ekosistem pendidikan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kementerian itu merangka pelbagai inisiatif yang mencerminkan komitmen berterusan dalam menangani kes buli, termasuk memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh konsep sekolah selamat menerusi Belanjawan 2026.
Katanya, satu sesi town hall khas bersama murid sekolah akan diadakan esok bagi mendapatkan input penting dalam merangka Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti Buli yang bakal dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.”
“Selain itu, Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang melibatkan pelbagai pihak sedang giat berfungsi bagi memperkukuh agenda ini.
“Audit asrama juga sedang kita laksanakan selain berkaitan cadangan kita untuk mengangkat kerangka ‘safe school’ ini untuk Belanjawan 2025 negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Jelajah Anti Buli 2025 anjuran bersama Wanita Keadilan Pulau Pinang dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Dewan Yayasan Aman, Kubang Semang di sini, hari ini.
Sementara itu, Fadhlina berkata, audit keselamatan di sekolah asrama merangkumi tumpuan jadual tugas warden, pemantauan rekod aduan, bilangan warden, pencahayaan pada waktu malam dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam usaha memastikan kesejahteraan pelajar, guru dan warga sekolah.
“Setakat ini 700 buah sekolah telah diaudit dan kita jangka ia akan selesai dalam tempoh sebulan hingga dua lagi.
“Hasil audit ini akan membantu kementerian mengenal pasti beberapa pendekatan dan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa, khususnya berkaitan dengan kesejahteraan dan keselamatan sekolah kita,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, KPM mengarahkan Ketua Jemaah Nazir mengerah semua anggotanya menjalankan audit keselamatan sekolah dengan laporan perlu dikemukakan setiap minggu. – MalaysiaGazette
















