KEPALA BATAS – Luluh hati seorang bapa apabila video kereta terbakar marak yang disangkanya tragedi biasa rupa-rupanya melibatkan anak kandungnya sendiri yang ditemui rentung.
Lebih memilukan, ia adalah kali kedua Ahmad Lin @ Mustafa, 74, kehilangan anak akibat kebakaran selepas anak perempuannya berusia tujuh tahun meninggal dunia kerana kelambu terbakar pada tahun 70-an.
Menceritakan detik sedih itu, Ahmad pada mulanya tidak tahu mangsa dalam video berkenaan adalah anaknya, Mohd Fitri, 35, susulan arwah tidak memaklumkan kepada keluarga dia keluar bersama rakannya ke Perak.
“Pak cik hanya tau mangsa rentung tu adalah anak kira-kira 5 petang selepas rakan-rakannya datang ke rumah. Saya sendiri ada melihat video kejadian itu dan saya reda dengan ketentuan Allah.
“Namun sebagai bapa saya sangat sedih kerana ini merupakan anak kedua yang meninggal dunia akibat kebakaran dan sebelum ini, kakak arwah yang ketika itu berusia tujuh tahun turut meninggal dunia kerana kelambu terbakar sekitar tahun 70-an,” katanya sambil mengesat air mata ketika ditemui pemberita hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Kereta terbakar rempuh timbunan tanah punca dua lelaki rentung
Semalam, polis memaklumkan identiti kedua-dua mangsa rentung akibat merempuh timbunan tanah di Jalan Permatang Baru di sini masih belum dikenal pasti.
Namun tinjauan media di Unit Forensik Hospital Kepala Batas hari ini mengesahkan seorang daripada mangsa, Mohd Fitri selepas waris hadir membuat pengecaman serta menunggu proses pengesahan lanjut melalui ujian DNA.
Bagaimanapun identiti seorang lagi mangsa rentung masih belum dapat dipastikan.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, sebaik mendapat maklumat itu, mereka sekeluarga bergegas ke hospital bagi proses menuntut jenazah.
“Dari semalam pak cik tunggu kemudian pagi ini seawal 8 pagi kami sudah di sini namun pihak polis memaklumkan proses pengambilan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) akan dilakukan esok.
“Esok mereka (pihak hospital) akan mengambil DNA kakak arwah untuk tindakan lanjut dan kami dimaklumkan proses untuk menuntut jenazah mengambil masa tiga minggu hingga ke sebulan kerana keadaan mangsa hanya tinggal rangka,” katanya sambil menambah arwah anak kelapan daripada 10 beradik.
Sementara itu, adik bongsu arwah, Mohd Arif, 31, berkata, abangnya tidak tahu memandu kereta dan arwah dikenali sebagai seorang yang rajin mengemas rumah dan disenangi rakan-rakan.
“Arwah masih bujang dan seorang yang rajin. Kerja rumah memang semua dia yang buat. Dia tak suka kalau rumah bersepah.
“Arwah memang ada ramai kawan dan memang simple orangnya.
“Kali terakhir saya berjumpa arwah adalah sebelum hari kejadian kerana kami memang tinggal bersama di Kampung Teluk Amboi, Kota Kuala Muda, Kedah,” katanya. – MalaysiaGazette
















