KUALA LUMPUR – Penggunaan teknologi pemantauan satelit bagi mengawasi talian paip gas dicadangkan sebagai antara langkah bagi mengelak tragedi letupan gas di Putra Heights, Subang Jaya, dekat sini, berulang.
Cadangan itu merupakan sebahagian daripada 11 syor yang dibentangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi (JKPI) selepas meneliti hasil sesi libat urus bersama pelbagai agensi berkaitan insiden berkenaan.
Pengerusinya, Yusuf Abd Wahab berkata, pemantauan menggunakan sistem satelit, teknologi GeoPIG serta alat pengesan masa nyata perlu diperluas terutama di kawasan berisiko tinggi.
“Kita juga mencadangkan agar proses kelulusan pembangunan di sekitar jajaran paip gas diperketat dengan keperluan mendapatkan pandangan teknikal wajib daripada agensi keselamatan.
“Antaranya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Petronas Gas Berhad (PGB) dan pihak berkuasa tempatan,” katanya ketika sesi penerangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Insiden di Putra Heights itu menyebabkan 84 rumah di Taman Putra Harmoni mengalami kerosakan akibat letupan paip gas bawah tanah.
Yusuf berkata, keperluan mewujudkan prosedur bantuan dan pampasan yang jelas serta mekanisme rayuan khusus bagi mangsa insiden infrastruktur kritikal.
Menurut beliau, JKPI turut menyarankan supaya sistem amaran awal termasuk pemasangan siren di kawasan berhampiran infrastruktur kritikal dipertingkatkan selain mempercepat pelaksanaan pemetaan geobencana nasional bagi mengenal pasti jajaran paip gas utama.
“Latihan kecemasan perlu dijalankan secara berkala bersama komuniti setempat, agensi penyelamat dan industri, manakala penubuhan Tabung Bencana Infrastruktur Kritikal juga penting untuk memastikan bantuan segera dapat disalurkan,” ujarnya.
Beliau menggesa kerajaan menilai semula kerangka perundangan sedia ada bagi memperkukuh perlindungan keselamatan infrastruktur kritikal dan menutup sebarang jurang tanggungjawab undang-undang.
Antara syor lain termasuk pelaksanaan piawaian penyelenggaraan yang lebih ketat terhadap talian paip gas dan utiliti penting melalui audit keselamatan bebas secara tahunan.
“Kita mahu mekanisme penyelarasan tetap diwujudkan antara agensi persekutuan, kerajaan negeri, PBT dan syarikat utiliti supaya tindakan lebih terselaras tanpa pertindihan kuasa,” katanya.
Yusuf berkata, keperluan memperhebat program kesedaran awam agar penduduk di sekitar kawasan berisiko memahami tanda-tanda awal bahaya dan langkah keselamatan yang perlu diambil.
Dalam laporan siasatan pelbagai agensi, punca utama insiden dikenal pasti berpunca daripada mendapan tanah dan persekitaran tanah tidak stabil yang mengakibatkan kegagalan struktur paip meskipun paip berkenaan memenuhi spesifikasi teknikal.
“Terdapat perubahan fizikal pada lapisan bawah permukaan yang kehilangan daya tampung akibat pengumpulan air setempat.
“Aktiviti manusia yang mengubah topografi asal turut memberi kesan, dan geseran logam pada paip dipercayai mencetuskan api hingga berlaku letupan,” katanya.
Tambahnya, hasil siasatan Polis Diraja Malaysia mengesahkan tiada unsur sabotaj atau kecuaian dikenal pasti dalam insiden berkenaan. -MalaysiaGazette
















